Home Tempatan Khutbah nasihat umat Islam sensitif, ambil peduli ciri-ciri ajaran sesat

Khutbah nasihat umat Islam sensitif, ambil peduli ciri-ciri ajaran sesat

SHARE

03 Feb – Khutbah Jumaat hari ini menasihati umat Islam supaya lebih sensitif dan mengambil peduli ciri-ciri berlakunya penyebaran ajaran dan fahaman sesat.

Menurut teks khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kesedaran lebih awal adalah penting bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa kepada individu mahupun kumpulan yang bertopengkan Islam, sebaliknya membawa ajaran sesat untuk kepentingan peribadi.

“Terdapat 216 ciri ajaran sesat yang wujud dan antara ciri utama ajaran tersebut yang sama dalam kebanyakan ajaran sesat ialah;

“Memesongkan pentafsiran ayat Al Quran, tidak wajib melakukan solat Jumaat, mendakwa perlu membayangkan wajah guru ketika beribadat, menggunakan buku yang bertentangan dengan hukum syarak;

“Mengubah dan menyeleweng zikir-zikir bersesuaian dengan ajaran, Mendakwa ajaran mereka adalah wahyu dari Allah, menambah atau menterjemah syahadah dengan sendiri, mengkafirkan orang lain yang tidak mengikut ajaran mereka, mempercayai pengamalan nikah batin, mendakwa diri (guru) sebagai Imam Mahdi dan mengamalkan taqiyyah iaitu berpura-pura mengamalkan Islam,” kata khutbah itu.

Khutbah berkata, penglibatan diri dalam ajaran sesat tidak akan mendatangkan kebaikan sebaliknya membawa kepada keburukan kepada keluarga, individu, masyarakat dan negara.

“Ia akan menjerumus kepada perpecahan kerana sifat fanatik ahli kumpulan dan pemimpin mereka sehingga tidak menghormati masyarakat sekeliling.

“Lebih menggerunkan lagi apabila sesuatu ajaran itu boleh mengancam keselamatan negeri dan negara akibat pengikutnya yang bersifat ekstrem, menyalahtafsirkan konsep jihad dan sanggup memerangi orang yang tidak sehaluan dengan kepercayaan dan pegangan mereka sebagaimana kes pembunuhan terhadap Ketua Penguatkuasa Agama yang telah dibunuh oleh pengikut ajaran sesat tuhan Harun beberapa tahun yang lalu,” katanya.

Sehingga tahun lepas, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memfatwakan 41 ajaran atau fahaman sesat dan menyeleweng antaranya, Qadiani, Syiah, Liberalisme agama, Millah Abraham, Hizbut Tahrir dan Kumpulan Negara Islam Indonesia.

Katanya, bagi memastikan setiap fatwa berkaitan ajaran sesat diketahui masyarakat, Jabatan Mufti negeri sentiasa berusaha meningkatkan program penerangan bagi memberi kesedaran dan pendidikan.

Ia termasuklah Program Mesra Ummah bersama Jabatan Mufti Negeri Selangor, khutbah jumaat, seminar kefatwaan, hebahan fatwa melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS), poster, banner serta ‘billboard’ fatwa di setiap daerah.

Comments