Home Tempatan Khutbah Jumaat bahasa Inggeris diperluas di Langkawi

Khutbah Jumaat bahasa Inggeris diperluas di Langkawi

CEO Lembaga Pembangunan Langkawi berkata ia membolehkan pelancong dan warganegara asing yang bermastautin di pulau ini yang tidak fasih berbahasa Melayu memahami isi kandungan khutbah

SHARE

LANGKAWI: Penyampaian khutbah Jumaat dalam bahasa Inggeris di masjid di Langkawi perlu diperluaskan lagi sejajar dengan statusnya sebagai pulau pelancongan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Azizan Noordin hari ini.

Katanya, ini membolehkan pelancong dan warganegara asing yang bermastautin di pulau ini yang tidak fasih berbahasa Melayu memahami isi kandungan khutbah.

“Sekarang ini saya lihat ada satu atau dua masjid saja di sini yang menggunakan bahasa Inggeris dalam khutbah. Saya rasa semua ustaz boleh berbahasa Inggeris (untuk menyampaikan khutbah),” katanya di majlis Mahabah Bersama Imam-imam Masjid anjuran LADA di sini.

Beliau berkata sudah ada masjid di negara ini yang menggunakan bahasa Inggeris dalam penyampaian khutbah dan ia perlu diperhebatkan di Langkawi.

Menurutnya, pihak pengurusan masjid juga boleh mempertingkatkan lagi penggunaan aplikasi digital dalam penyampaian khutbah ini.

Azizan berkata LADA juga menyenaraikan 12 program keagamaan untuk diadakan sepanjang tahun ini.

Antaranya program pembangunan dan pelaksanaan kumpulan nasyid, majlis sumbangan sempena Ramadan, majlis berbuka puasa, Aidilfitri Special, Kenduri Korban LADA dan Homestay Open Day (promosi Bubur Asyura).

Dalam majlis itu, Azizan turut menyampaikan sumbangan daripada anak syarikatnya, Panorama Langkawi Sdn Bhd, kepada 29 jawatankuasa masjid di daerah ini.

Hadir sama ialah Anggota Majlis Kerajaan Negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid yang juga Adun Ayer Hangat; Adun Kuah Nor Saidi Nanyan; dan Timbalan Pegawai Agama Langkawi Sheikh Muhammad Usamah Talib.

Free Malaysia Today

Comments