Home Tempatan Khutbah JAIS ingatkan masalah besar jika anak tak sah taraf berbin, binti...

Khutbah JAIS ingatkan masalah besar jika anak tak sah taraf berbin, binti bapa biologi

SHARE

BANGI, 18 Zulkaedah 1438H, Jumaat – Isu penasaban anak tidak sah taraf kepada bapa biologinya hanya mengundang kepada masalah besar, termasuk kerosakan dalam sistem keluarga.

Menurut teks khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), sesuatu perkahwinan anak tidak sah taraf yang berwalikan bapa kandungnya adalah tidak sah.

Kesan tersebut secara tidak langsung menjadikan kerosakan kepada institusi keluarga berkenaan kerana melakukan penzinaan yang berterusan akibat perkahwinan tidak sah itu.

“Kelahiran anak tidak sah taraf akan berleluasa dalam masyarakat, bahkan akan melahirkan umat yang celaru keturunannya.

“Anak tidak sah taraf akan menuntut hak sama seperti mana anak sah taraf dalam perwalian, harta pusaka dan sebagainya yang boleh menimbulkan kerosakan yang lebih besar.

“Dari segi pewarisan harta pusaka bahawa anak tidak sah taraf tidak berhak mewarisi harta pusaka bapanya yang tidak sah taraf dan hanya boleh mewarisi harta pusaka ibunya sahaja. Begitu juga sebaliknya, bapanya tidak berhak mewarisi pusaka anaknya yang tidak sah taraf,” kata khutbah.

Bagaimanapun, JAIS berkata, mudarat dan implikasi berkenaan adalah berpunca daripada kesilapan yang dilakukan oleh ibu dan bapa anak berkenaan, namun mereka yang dilahirkan tidak menanggung dosa itu.

Justeru, khutbah menasihatkan umat Islam supaya tidak memandang serong terhadap anak-anak tidak sah taraf yang tidak langsung mewarisi dosa ibu bapanya itu.

“Umat Islam digesa untuk tidak mengetepikan Hukum Syarak semata-mata berdasarkan stigma dan kesan psikologi terhadap anak tidak sah taraf.

“Disamping itu, sebarang pertikaian hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa utama dalam Hukum Syarak iaitu Jawatankuasa Fatwa yang diiktiraf oleh undang-undang.

“Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengenai anak tidak sah taraf perlu dihormati bagi mengelakkan kekeliruan dan perpecahan umat,” kata JAIS.

Comments