Home Tempatan Khutbah ingatkan peniaga amanah, tak tindas pengguna

Khutbah ingatkan peniaga amanah, tak tindas pengguna

SHARE

BANGI, 17 Rejab 1438H, Jumaat – Khutbah Jumaat hari ini mengingatkan peniaga dan pengusaha mengamalkan sifat jujur, amanah dan tidak menindas orang lain dalam urusan perniagaan serta jual beli.

Menurut teks khutbah yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), peniaga perlu sentiasa jujur dalam setiap aktiviti perniagaan dan mengelakkan penipuan terutama menaikkan harga barang sesuka hati dan menyembunyikan barangan bagi tujuan yang sama.

“Sebagai seorang peniaga yang beriman, seharusnya sentiasa sedar bahawa setiap tindakan yang dilakukan akan dihitung dan diberi balasan oleh Allah SWT,” kata khutbah.

Bagaimanapun khutbah berkata, pengguna dan pembeli juga berperanan dalam memastikan aktiviti jual beli dilaksanakan dalam keadaan yang jujur serta tidak menindas mana-mana pihak.

Katanya, pengguna mempunyai hak untuk mendapat pendidikan dan maklumat tepat mengenai sesuatu barangan yang dijual untuk memudahkan mereka membuat pilihan berdasarkan harga dan jaminan kualiti yang ditawarkan.

“Pengguna juga berhak untuk mendapat penyelesaian yang adil bagi pembelian barangan dan tawaran perkhidmatan yang tidak memuaskan serta berhak untuk menyuarakan kepentingan pengguna dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar kerajaan yang berkaitan.

“Pengguna juga berkuasa untuk menyuarakan pendapat dan perlu lebih responsif terhadap salah laku dalam perniagaan dengan melapor kepada pihak yang berkuasa.

“Dengan kata lain, pengguna seharusnya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam membanteras isu-isu penindasan dan penipuan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata Jakim.

Serentak itu, bersempena sambutan Hari Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ke-45, mimbar mengajak masyarakat menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan merealisasikan langkah dan usaha yang dijalankan itu.

Katanya lagi, setiap pengusaha perlu jujur menjalankan aktiviti perniagaan, manakala pengguna juga mesti menjadi inidvidu berilmu serta tahu hak dan kuasa dalam membanteras isu penindasan dan penipuan.

Menyingkap kisah pada zaman Rasulullah SAW, khutbah berkata, nabi telah memperkenal dan mengamalkan mekanisme pemeriksaan dan pemantauan (hisbah) dalam aktiviti jual beli serta penentuan harga.

“Pernah suatu ketika Nabi SAW menemui amalan menjual buah tamar secara tidak jujur yang mana didapati buah tamar diletakkan dalam bekas yang besar dengan menyembunyikan tamar yang tidak baik dibahagian bawah bekas tersebut supaya tidak disedari oleh pembeli.

“Melihat penipuan yang diamalkan ini Nabi SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalangan kami iaitu bukan dari kalangan orang yang sempurna iman dan baik Islamnya – Riwayat Bukhari,” katanya.

Comments