Home Tempatan Khinzir Panggang Ramadhan, Teroris Ramadhan & Maaf Zahir Batin

Khinzir Panggang Ramadhan, Teroris Ramadhan & Maaf Zahir Batin

SHARE

Kuala Lumpur –  Pemimpin-pemimpin politik dan NGO Islam menyatakan rasa kesal dan kecewa mereka dengan penerbitan muka depan akhbar The Star pada 27 Mei 2017, yang tidak sensitif kepada perasaan umat Islam. Muka depan yang memuatkan tajuk berita ‘Malaysian terrorist leader’,dalam masa yang sama memuatkan gambar umat Islam menunaikan solat terawih, dilihat seolah-olah cuba menggambarkan Islam sebagai agama keganasan.

Shahar Abdullah, Ketua Pemuda UMNO Pahang, di dalam kenyataan medianya menyatakan, “Meskipun tajuk berita tiada kena mengena dengan gambar tersebut, ia boleh menyebabkan orang ramai  tersalah tafsir apa yang disiarkan akhbar The Star seolah-olah merujuk pengganas kepada orang Islam dengan meletakkan kedua-dua berita dan gambar tersebut dalam satu muka surat besar di halaman depan.”

Dato’ Hj Ruslan Kasim, Ketua Penerangan PERKASA menyatakan bahawa mereka percaya perkara ini bukanlah tidak disengajakan dan mereka menuntut The Star untuk menyatakan sikap dan pendirian mereka serta meminta maaf kepada umat Islam Malaysia.

Ustaz Norazli Musa, Presiden Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak menegaskan, sama ada penerbitan muka depan tersebut sengaja ataupun tidak disengajakan adalah berupa satu penghinaan dan perbuatan yang menyinggung hati umat Islam. Apalagi jikalau berniat jahat untuk membawa persepsi negatif dan buruk terhadap Islam dan umatnya yang hidup di Malaysia dengan harmoni serta aman damai ini.

Pada Ogos 2011, The Star menimbulkan kontroversi kerana menyiarkan juadah babi panggang sebagai salah satu hidangan di dalam sisipan juadah Ramadhan The Star. Ia menerima kecaman umat Islam dan menyebabkan akhbar tersebut kemudiannya dipanggil oleh Kementerian Dalam Negeri. Permohonan maaf kerana isu babi panggang Ramadhan tersebut kemudiannya dikeluarkan The Star.

The Star mencetuskan kontroversi sekali lagi pada tahun 2012, melalui isu tatu kalimah Allah pada tubuh Erykah Badu. Sekali lagi, The Star membuat permohonan maaf.

Pada Disember 2016, The Star sekali lagi memohon maaf apabila meletakkan gelaran Almarhum kepada Sultan Ismail Petra, ayahanda kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sekarang.

Rata-rata komen dari umat Islam apabila berlakunya kontroversi terbaru ini, menuntut KDN untuk lebih bertegas dengan The Star. Pada tahun 1987, The Star pernah digantung penerbitan selama lebih 6 bulan di bawah KDN yang lebih tegas.

Comments