Home Tempatan Khalid Samad Mahu Tutup ‘Bangkai Gajah Dengan Nyiru’ – CEO IKSIM

Khalid Samad Mahu Tutup ‘Bangkai Gajah Dengan Nyiru’ – CEO IKSIM

SHARE

 

Putrajaya – “Saya belum terima lagi sebarang surat tuntutan seperti mana yang didakwa Khalid Samad.” Demikian jawapan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Dato’ Prof Mahamad Naser bin Disa.

“Khalid Samad ada hak untuk membuat apa jua tuntutan selagi ianya termaktub di dalam undang-undang. Jika dia fikir surat tuntutan guaman ini seperti nyiru yang boleh digunakannya untuk menutup bangkai gajah hasil perlakuan dia dan rakan-rakannya, maka jelas Ahli Parlimen itu silap besar. Bangkai gajah perlakuannya itu sudah membusuk dan tidak lagi dapat ditutup.”

Dato’ Prof Mahamad Naser juga menyatakan bahawa surat saman Khalid Samad itu satu peluang keemasan yang seharusnya tidak ditolak oleh pihaknya.

“Ini peluang keemasan yang tidak harus ditolak. 25 tahun saya berkhidmat sebagai Peguam Kanan Persekutuan, saya yakin bahawa medium mahkamah merupakan medium paling adil untuk menunjukkan kepada semua pihak semua bukti perlakuan Khalid Samad sekiranya dibicarakan nanti. Jika ceramah, ianya tidak kuat. Apabila bukti-bukti perlakuan dan ucapannya dijadikan keterangan mahkamah dan diterima, maka rakyat Malaysia akan dapat lihat siapa sebenarnya orang yang bernama Khalid Samad ini.”

Ditanyakan tentang RUU 355 yang menjadi subjek pertikaian dalam hal ini, Dato’ Prof Mahamad Naser menjelaskan Akta 355 adalah kunci utama untuk mengekang penyebaran doktrin palsu yang dikuatkuasakan di bawah perundangan Syariah. Perbincangan mengenai Isu penguatkuasaan undang-undang Syariah tidak akan lari dari aspek hukuman yang terlalu rendah.

“Kekangan itulah yang sering disebut oleh pakar-pakar undang-undang dan Syariah sejak tahun 1984. Khalid Samad dan rakan-rakannya di dalam Parti Amanah yang baru sedar akan akibat buruk menolak pindaan A 355 itu sama ada dari aspek politik atau Syariah akan melakukan apa saja bagi menutup kesilapan mereka.”

“Nasihat saya kepada mereka-mereka ini, mereka harus segera insaf. Mahkamah dunia ini tidak ada apa-apa sangat. Mahkamah Allah nanti lebih hebat dan lebih halus. Damage has been done! Pindaan terhadap undang-undang yang hanya 3 seksyen telah dipolitikkan hanya kerana mengharapkan undi bukan Islam.”

Sambil membacakan Firman Allah yang ditujukan kepada semua pihak, Janganlah kamu menjual ayat-ayat Allah untuk kepentingan yang sedikit (al Baqarah ayat 41), Dato’ Prof Mahamad Naser menambah,

“Undang-undang turut membenarkan saya untuk melakukan saman balas. Saya juga ada kausa tindakan untuk saman balas. Kita lihat nanti siapa yang fitnah siapa, dan siapa yang kena bayar ganti rugi. Lebih menarik, di dalam proses itu, semua cerita Khalid Samad akan keluar lebih dari sepotong ayat yang mendorong beliau untuk membuat tuntutan ini. Saya masih menunggu surat tersebut.”

Comments