Home Tempatan Khabar angin Malaysia sasaran pengganas palsu

Khabar angin Malaysia sasaran pengganas palsu

SHARE

KUALA LUMPUR, 10 Jamadilakhir 1438H, Khamis – Khabar angin bahawa Malaysia menjadi sasaran pengganas seperti yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini adalah palsu.

Perkara itu disahkan Ketua Komunikasi Korporat Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datin Asmawati Ahmad dengan menegaskan ada pihak yang tidak bertangungjawab melakukan tindakan demikian untuk menakut-nakutkan orang ramai.

Beliau berkata, mesej itu juga telah dimanipulasi dan dikitar semula beberapa kali sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat tanpa sebab-sebab sahih.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan berita yang tidak berasas serta tidak menyebarkannya bagi mengelakkan keadaan tidak diingini berlaku.

“Mesej palsu sedemikian bukan sahaja menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat malah turut membantutkan aktiviti harian sekaligus menjejaskan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Maklumat yang tersebar itu meminta orang ramai tidak mengunjungi pusat beli belah dan tempat awam kononnya Malaysia merupakan sasaran kumpulan pengganas.

Mesej berkenaan turut mendakwa bahawa kerajaan telah mengeluarkan amaran berhubung perkara tersebut dan meminta agar orang ramai berwaspada.

Jelas Asmawati, orang tidak perlu bimbang, PDRM akan sentiasa berusaha untuk mengekalkan keselamatan awam.

Katanya, polis bertanggungjawab memelihara kedaulatan negara daripada sebarang bentuk ancaman sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Comments