Home Tempatan Kewarganegaraan hak eksklusif Persekutuan

Kewarganegaraan hak eksklusif Persekutuan

SHARE

PUTRAJAYA – Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia yang merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif kerajaan persekutuan tidak ditawar dan diberikan dengan sewenang-wenangnya, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Mohd Yazid Ramli.

Beliau berkata, dalam mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan Malaysia, beban untuk membuktikan kelayakan memperoleh kewarganegaraan itu  adalah tanggungjawab pemohon dan proses pertimbangan tertakluk kepada syarat-syarat di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Yazid berkata, permohonan kewarganegaraan ditolak atas beberapa sebab antaranya tidak memenuhi syarat kelayakan untuk memohon kewarganegaraan yang meliputi tempoh bermastautin di negara ini, berkelakuan baik, mempunyai pengetahuan bahasa Melayu yang asas/mencukupi/memadai, dan berniat untuk bermastautin secara tetap di Malaysia.

Sebab lain ialah dokumen perlu tidak dikemukakan dengan sewajarnya selain terdapat percanggahan atau keraguan dalam maklumat semasa soal siasat dijalankan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Gerakan Kebangsaan, Datuk A. Kohilan Pillay yang meminta penjelasan Kementerian Dalam Negeri berhubung penolakan permohonan kewarganegaraan dan daftar kelahiran.

Semalam, Kohilan dilaporkan mendakwa beliau menerima banyak aduan daripada pemohon yang lahir di negara ini namun permohonan kewarganegaraan mereka ditolak dan alasan penolakan pula tidak dinyatakan.

Mengulas lanjut, Mohd Yazid menjelaskan sebab penolakan tidak dinyatakan dalam surat keputusan kerana maklumat itu adalah sulit selain menjaga kerahsiaan negara atas tujuan keselamatan.

Beliau berkata, setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia hendaklah didaftarkan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957  bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan  Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sarawak 1951 serta Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sabah 1951.

“Antara sebab mengapa permohonan daftar kelahiran ditolak ialah pemohon tidak dapat membuktikan kelahiran subjek berlaku di Malaysia selain dokumen yang dikemukakan diragui ketulenannya serta terdapat percanggahan dan keraguan semasa soal siasat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, lazimnya penolakan pendaftaran kelahiran yang biasa akan dimaklumkan kepada pemohon semasa permohonan dikemukakan di kaunter.

Bagi pendaftaran lewat kelahiran, beliau berkata penolakan dimaklumkan melalui surat Keputusan Permohonan Pendaftaran Lewat Kelahiran kepada pemohon yang dinyatakan sebab-sebab penolakannya.

Sinar Online

Comments