Home Antarabangsa Ketua tentera Serbia bunuh ribuan umat Islam meninggal dunia

Ketua tentera Serbia bunuh ribuan umat Islam meninggal dunia

SHARE
KETUA Tentera Serbia, Kolonel Ljubisa Beara, yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2010, meninggal dunia di Berlin, Rabu lalu. - Foto The New York Times

BOSNIA: Ketua Tentera Serbia, Kolonel Ljubisa Beara, yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2010, meninggal dunia di Berlin, Rabu lalu.

Beara didapati bersalah dalam kes pembunuhan beramai-ramai membabitkan 8,000 orang Islam, terutama lelaki dan kanak-kanak berhampiran Srebrenica pada 1995.

Berita kematian bekas tentera berusia 77 tahun itu disahkan jurucakap Kementerian Kehakiman Berlin, Peggy Fiebig, tanpa mendedahkan punca kematiannya.

Insiden pembunuhan beramai-ramai itu adalah yang terburuk dalam sejarah Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Beara yang ditahan di penjara Tegel, Berlin menyerah diri kepada Tribunal Jenayah Perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di The Hague pada 2004.

Tribunal itu menuduh kerajaan Serbia melindungi Beara selama dua tahun, selepas dia didapati bertanggungjawab terhadap tragedi pembunuhan beramai-ramai itu.

Beara dan seorang lagi komander Serbia Bosnia, Vujadin Popovic, disabitkan dengan kesalahan pembunuhan beramai-ramai itu dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. – New York Times

Berita Harian

Comments