Home Tempatan Ketinggian undang-undang Islam

Ketinggian undang-undang Islam

SHARE

KEBELAKANGAN ini rakyat Malaysia lebih peka kepada hak-hak yang diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi di Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Perkembangan ini adalah baik kerana rakyat yang celik undang-undang merupakan aset kepada perkembangan negara di samping tidak mudah diperkotak-katikkan orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.

Shad Saleem Faruqi telah mengkategorikan hak-hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan ini kepada beberapa kategori antaranya:-

1. Hak yang dianugerahkan kepada semua orang tanpa mengira sama ada mereka adalah warganegara Malaysia ataupun tidak. Umpamanya Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan asasi kepada semua orang yang berada dalam Persekutuan, begitu juga Perkara 6 yang memperuntukkan pemansuhan perhambaan dan buruh paksa, perkara 11 (kebebasan beragama) dan perkara 13 (hak terhadap harta).

2. Hak yang hanya diberikan kepada warganegara sahaja seperti hak bersuara dan berhimpun seperti dalam perkara 10 dan hak mendapatkan pelajaran Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan. Hak-hak ini hanya dinikmati oleh warganegara Malaysia sahaja.

3. Hak yang dilindungi walau-pun dalam darurat. Perkara 150(6A) menegaskan terdapat enam hak yang tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat. Hak-hak tersebut adalah berkait dengan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewar-ganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan dengan bahasa.

4. Hak yang tidak boleh dihakis pada masa biasa seperti Perkara 7 hak untuk mendapat ganti rugi sekiranya tanah diambil dan Perkara 13 hak kepada orang yang ditangkap diberitahu alasan penangkapan dan menghubungi peguam. Dalam erti kata lain hak-hak yang termasuk dalam kategori ini boleh dihapuskan, digantung ataupun diketepikan ketika berlaku darurat dalam negara sahaja. Dalam situasi lain Per-lembagaan menjamin hak ini dilindungi.

5. Hak yang dihadkan atas alasan tertentu seperti hak kebebasan bersuara dan berhimpun dibataskan selagi tidak menggugat ketentera-\man awam, keselamatan negara, menggalakkan perlakuan jenayah dan sebagainya. Oleh itu, walaupun hak itu tersurat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan namun ia bukanlah bersifat tidak terbatas. Ia boleh dihadkan atas sebab-sebab tertentu yang digariskan Perlembagaan itu sendiri.

Perkara yang menarik perhatian penulis ialah tentang kedudukan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa yang tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat dan tidak aman.

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya.

Natijah dari kedudukan tinggi ini, sudah sewajarnyalah jika terdapat pertelingkahan atau percanggahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain maka tafsiran memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Undang-undang Islam seha-rusnya menjadi standard yang menambat undang-undang lain dari dihakis. Ini adalah kerana kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti terkandung di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan hakikat bahawa walaupun dalam keadaan darurat, undang-undang Islam tidak langsung terjejas.

Secara hipotesisnya, jika negara diisytiharkan darurat, semua undang-undang digantung pelaksanaannya, namun undang-undang Islam termasuk Undang-Undang Keluarga Islam masih berkuat kuasa.

Ini bermakna mahkamah syariah masih boleh beroperasi dan orang Islam masih boleh melaksanakan upacara akad nikah menurut Undang-Undang Keluarga Islam. Inilah keistimewaan diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada undang-undang Islam.

Adalah penting bagi rakyat Malaysia bukan sahaja mengetahui hak-hak mereka yang tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi juga memahami falsafah dan semangat Perlembagaan mengikut skema atau kerangka dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan bukanlah matlamat tetapi hanya alat bagi kita mencapai keadilan dan kesepakatan antara rakyat Malaysia. Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat memakmurkan negara.

Sinar Online

Comments