Home Pendapat Kes Rempuh Basikal: Pendapat Seorang Peguam

Kes Rempuh Basikal: Pendapat Seorang Peguam

SHARE

Saya berasa terpanggil untuk memberi komen berkenaan kes tragedi kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bharu pada 18 Februari 2017 lepas yang mengorbankan 8 nyawa anak-anak muda.

Kemalangan dikatakan berlaku sekitar jam 3 pagi sewaktu anak-anak muda tersebut sedang mengayuh basikal di lokasi bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah.

Dikatakan, lebih 30 anak-anak muda tersebut berada dikawasan itu bersama basikal masing-masing.

Pemandu, seorang gadis berbangsa Cina berumur 22 tahun, memandu kereta jenis Almera, dikatakan merempuh anak-anak muda tersebut yang sedang mengayuh menuju haluan yang sama, bermakna ianya rempuhan daripada belakang.

Melihat daripada gambar kawasan tragedi, kelihatan rempuhan itu berlaku di tepi jalan sebelah kiri.

Saya melihat kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan termasuk oleh pihak polis dan juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, memberi gambaran seolah-olah anak-anak muda tersebut yang bersalah; dengan satu alasan dangkal yang utama: apa anak-anak muda itu buat mengayuh basikal beramai-ramai jam 3 pagi!

Tidak ada pulak yang bertanya, apa seorang gadis berusia 22 tahun buat, memandu kereta berseorangan jam 3 pagi? Dan kenapa sehingga hari ini identiti pemandu itu tidak didedahkan, sebaliknya identiti mangsa dengan ibu bapa mereka pula yang didedahkan?

Kebiasaanya, apabila berlaku tragedi kemalangan seperti ini, identiti pemandu yang melanggar akan segera didedahkan; tetapi, dalam kes ini, saya agak pelik!

Adakah pemandu itu diberi perlindungan istimewa? Adakah dia daripada keluarga tertentu yang mesti dilindungi?

Setakat hari ini, saya tidak mendengar sebarang ancaman terhadap gadis Cina tersebut yang boleh menyebabkan identitinya tidak dapat didedahkan!

Berbalik kepada isu tragedi kemalangan itu, saya merasakan pihak-pihak berkaitan terlalu memberi tumpuan kepada anak-anak muda tersebut yang mengayuh basikal jam 3 pagi. Seolah-olah satu dosa besar bagi anak-anak muda  berbasikal jam 3 pagi!

Saya bukan bermaksud hendak membela anak-anak muda itu, tetapi, isunya ialah siapa yang bersalah dalam tragedi itu?

Kenapa begitu cepat pihak berkuasa membuat keputusan dan membebaskan pemandu tersebut, dan paling malang, ada pula pihak yang mengugut akan mengambil tindakan terhadap ibubapa anak-anak muda itu kerana membenarkan atau membiarkan anak2 itu berbasikal jam 3 pagi!

Sejak bila naik basikal jam 3 pagi itu satu dosa? Satu kesalahan?

Dibawah Akta Pengangkutan dan Peraturan Lalu Lintas:

1. Bukan satu kesalahan mengayuh basikal jam 3 pagi
2. Bukan satu kesalahan mengayuh basikal beramai-ramai
3. Bukan satu kesalahan mengayuh basikal atas jalan raya

Apa yang jelas, melanggar seseorang atau sesuatu kenderaan daripada belakang di atas jalan raya adalah prima facie satu kesalahan!

Pihak polis wajar memperhalusi siasatan mereka dengan mengkaji persoalan berikut:

1. Bagaimana pemandu tersebut boleh merempuh sekumpulan pengayuh basikal daripada belakang?
2. Agak mustahil untuk mana-mana pemandu tidak nampak sekumpulan pengayuh basikal di atas jalan raya, apatah lagi kalau jumlahnya sampai 30 orang.
3. Alasan konon jalan itu menurun bukit adalah terlalu dangkal sebab, semua pemandu telah pun melalui latihan pemanduan untuk memperlahankan kenderaan abila melalui selekoh atau mendaki atau menuruni bukit.
4. Apa yang menyebabkan pemandu itu tidak dan/atau gagal melihat atau menyedari ada sekumpulan ramai pengayuh basikal di kawasan tersebut;
5. Ada kenyataan dibuat oleh mangsa dan saksi menyatakan melihat pemandu itu menggunakan telefon bimbit dan memandu laju. Oleh itu, pihak polis wajib menyiasat maklumat ini. Saya agak hairan dalam tempoh yang begitu singkat, kenyataan dikeluarkan kononnya pemandu tersebut tidak menggunakan telefon bimbit dan tidak membawa laju! Bila siasatan terperinci dibuat?
6. Melihat kepada gambar-gambar sekitar selepas kejadian, kelihatan rempuhan tersebut sangat kuat sehingga melanggar begitu ramai pengayuh basikal dan menyebabkan 8 kematian! Ini sahaja sudah cukup untuk pihak berkuasa mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan cara pemanduan tersebut!

Dalam bahasa undang-undang, ada prinsip dipanggil res ipsa loquitur – sesuatu perkara itu terjelas dengan sendirinya!

Rempuhan kuat daripada belakang oleh sebuah kereta terhadap sekumpulan ramai pengayuh basikal di sisi kiri sebatang jalan raya dua lorong memberi gambaran samada pemandu itu lalai, alpa, atau dalam keadaan gagal mengawal kenderaannya!

Maknanya, ada kes prima facie untuk disiasat dengan lebih terperinci!

Saya harap kita bertindak waras dan rasional dalam tragedi ini dan tidak terbawa-bawa dengan sikap emosional, prejudis atau berat sebelah!

Adakah hanya kerana anak-anak muda itu mengayuh basikal jam 3 pagi secara beramai-ramai maka mereka boleh dirempuh daripada belakang begitu sahaja, dan mereka yang dipersalahkan?

Apa beza anak-anak muda yang mengayuh basikal itu dengan keadaan sebaliknya; apa kata jika pemandu tersebut merempuh beberapa kenderaan lain seperti kereta atau motosikal daripada belakang?

Tidak ada beza bukan?

Soal mereka mengayuh basikal jam 3 pagi beramai-ramai bukan isunya! Itu mungkin isu sosial yang perlu ditangani secara berasingan melalui kaedah yang diperlukan.

Tetapi, ini isu tragedi kemalangan jalanraya! Sebuah kenderaan merempuh sekumpulan pengayuh basikal daripada belakang di sisi sebelah kiri sebatang jalan raya menyebabkan 8 kematian!

Prima facie ada sesuatu yang tak kena dengan cara pemanduan atau pengendalian kereta tersebut oleh pemandu berkenaan!

Saya mendesak pihak polis dan pihak berkuasa supaya memperhalusi siasatan mereka! Dan saya cadangkan supaya siasatan dibuat dibawah Seksyen 302A Kanun Kesiksaan dan sebagai alternatif, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan.

Saya nasihatkan kepada keluarga mangsa supaya merujuk kepada peguam untuk mempertimbangkan membawa kes ini ke Mahkamah untuk tindakan sivil yang bersesuaian.

Dan jika tidak berpuas hati dengan siasatan pihak berkuasa, failkan writ prerogatif di Mahkamah Tinggi untuk suatu perintah yang bersesuaian. Peguam yang mahir akan boleh memberikan nasihat dan panduan yang bersesuaian insyallah.

Dan akhirul kalam, nasihat saya kpd Timbalan Menteri Dalam Negeri dan KPD (dan yang sewaktu dengannya), lain kali kalau ditanya soalan berkaitan sesuatu insiden atau kejadian jenayah seperti ini, suka saya mengulang nasihat seorang sahabat bekas pegawai tinggi pasukan polis, “jawab sahaja ‘kes masih dalam siasatan dan kita akan siasat sewajarnya mengikut undang-undang dan prosedur sedia ada”.

Selesai masalah!

Wallahua’lam dan wassalam.

Perkongsian ini diambil dari Facebook Zulkifli Noordin. Anda boleh melayarinya di laman web https://www.facebook.com/zulkifli.noordin.5/posts/1343167195740670?pnref=story

 

Comments