Home Tempatan Kes penipuan umrah berkurangan

Kes penipuan umrah berkurangan

SHARE
KEMENTERIAN Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin. - Foto diambil dari Utusan Malaysia

JASIN: Kes penipuan umrah mencatatkan pengurangan drastik apabila Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) mengambil tindakan segera mengekang kegiatan itu daripada berleluasa.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata beberapa pertemuan yang dibuat bersama syarikat pengendali umrah sejak beberapa tahun lalu, berjaya menghalang penipuan pakej umrah terhadap orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya turut mengambil tindakan tegas dengan membatalkan lesen pengembaraan luar negeri (outbound) terhadap sekurang-kurangnya 12 syarikat yang memperdaya orang ramai sebelum ini.

“Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang ditubuhkan di bawah MOTAC juga membincangkan isu ini setiap bulan dan Alhamdulillah, sejak akhir-akhir ini tiada kes penipuan umrah di negara ini.

“Malah, hasil lawatan saya ke Jeddah baru-baru ini juga mendapati tiada kejadian penipuan dilaporkan oleh jemaah Malaysia di sana. Ini satu perkembangan positif hasil daripada tindakan segera kami bersama MKSU yang ditubuhkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Program Semarak @Chenderah di Kampung Chenderah di sini, hari ini.

Program anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka Pejabat MOTAC negeri itu menyaksikan aktiviti sukan tradisional rakyat dihidupkan kembali dengan penyertaan lebih 300 peserta, membabitkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Jasin.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri, Zulkarnain Ramly dan Pengarah Pelancongan Melaka, Jefry Munir.

Mas Ermieyati turut memberi amaran keras kepada mana-mana syarikat pengendali umrah supaya tidak menipu jemaah.

“Kita tidak akan berkompromi dalam hal ini kerana ia bukan sahaja membabitkan orang kampung, tetapi juga golongan atasan serta profesional.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan terlebih dahulu senarai pengendali umrah yang berdaftar di bawah MOTAC bagi mengelak ditipu pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Berita Harian

Comments