Home Tempatan Kes Kongsi Gelap BMW, Dua Lagi Didakwa

Kes Kongsi Gelap BMW, Dua Lagi Didakwa

SHARE

Johor Bahru, Johor: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas dakwaan bersubahat dalam ‘pembunuhan BMW’ yang mengakibat seorang lelaki maut ditikam dan digilis selepas diserang di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru, 17 Disember lepas.

Mengikut laporan yang dipetik oleh Bernama, kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Gan Jia Ji, 20, bersama lima suspek yang masih bebas didakwa melakukan pembunuhan tersebut sehingga menyebabkan kematian ke atas mangsa yang dikenali sebagai Tan Aik Chai, 44, di sebuah stesen minyak dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam bulan lepas.

Atas kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Sementara itu, Yip Kah Hou, 24, dengan tiga suspek yang masih bebas didakwa bersubahat dengan Gan dan lima individu lagi yang masih bebas terlibat dalam melakukan pembunuhan tersebut sehingga menyebabkan kematian ke atas Tan.

Yip yang juga pembantu restoran boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 akta sama dan Seksyen 34 akta sama.

Berikutan itu, Siti Hajar memerintahkan kes itu disebut semula pada 13 Feb ini bagi menunggu laporan bedah siasat.

Terdahulu, kejadian pembunuhan tersebut berlaku ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kenderaan mereka di stesen minyak berkenaan.

Menurut Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, kesemua suspek yang menaiki kenderaan mewah BMW itu secara tiba-tiba datang dan cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka hingga berlaku pergelutan sebelum mangsa berjaya meloloskan diri.

“Suspek bertindak melanggar mangsa sebanyak dua kali sebelum mengundur dan melarikan diri. Mangsa berusia 30-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan tikaman pada dada kiri lelaki terbabit,”kata beliau.

Comments