Home Tempatan Kerjasama kekang DAESH diperluas dalam ASEAN

Kerjasama kekang DAESH diperluas dalam ASEAN

SHARE

KOTA KINABALU: Malaysia akan mengambil inisiatif untuk mengembangkan kerjasama mengekang penularan aktiviti militan termasuk Daesh dengan beberapa lagi negara ASEAN selepas kejayaan kerjasama dengan Filipina dan Indonesia di Laut Sulu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata langkah itu perlu berikutan Daesh kini menjadi ancaman terbesar yang dihadapi negara ini serta negara Asia lain secara umum.

Beliau berkata, pihaknya memantau rapat apa yang berlaku di Marawi, selatan Filipina, ketika ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekang dan memastikan ancaman Daesh di wilayah itu tidak merebak ke tempat lain khususnya di Sabah.

“Apa yang berlaku di Marawi membimbangkan kita kerana ini kali pertama bendera Daesh atau IS dikibarkan wilayah ASEAN. Sebagai langkah pencegahan, kita melaksanakan inisiatif rondaan maritim tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina bagi memastikan tiada militan menggunakan Laut Sulu masuk ke negara kita.

“Ketika perbincangan dengan tiga negara itu, kita juga melihat mengenai kemungkinan untuk mengembangkannya ke negara ASEAN lain khususnya yang dekat dengan kita seperti Brunei dan Singapura,” katanya selepas acara Perbarisan Penganugerahan Battle Honour DAULAT FEB 2013 di Padang Merdeka, di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Mohamed Noor.

Hishammuddin berkata, bagi kerjasama dengan Filipina dan Indonesia, inisiatif rondaan udara bersama di Laut Sulu akan dilancarkan di Subang dalam masa terdekat selepas ketiga-tiga pihak, khususnya Filipina yang kini berdepan dengan krisis Marawi sudah bersedia.

Malaysia ketika ini dalam proses perbincangan dengan Jepun untuk mendapatkan pesawat P3 Orion bagi tujuan rondaan udara di kawasan terbabit.

Terdahulu, Hishammuddin berkata Malaysia mampu menangani cabaran termasuk ancaman luar jika rakyat terus bersatu dan bekerjasama mempertahankan kedaulatan negara.

Katanya, insiden pencerobohan Lahad Datu memberi pengajaran yang penting kepada rakyat Malaysia agar terus bersatu dan tidak bergaduh sesama sendiri demi kepentingan negara.

“Sebab itu saya tidak selesa dengan tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menyerang integriti serta moral pasukan keselamatan kita. Saya tidak selesa apabila ada suara sumbang menghina dan merendahkan kebolehan serta aset pasukan kita,” katanya.

Sempena majlis itu, seramai 61 anggota tentera menerima Pingat Kedaulatan Negara (PKN) sebagai penghargaan terhadap pembabitan mereka dalam Operasi Daulat (Ops Daulat) bagi memerangi penceroboh bersenjata Sulu di Tanduo, Lahad Datu pada Februari dan Mac 2013.

Satu persembahan pentomin yang mengisahkan pertempuran di Kampung Tanduo, Tanjung Labian dan Tanjung Batu, Lahad Datu ketika Ops Daulat pada tahun 2013 turut dipersembahkan sempena perbarisan itu bagi mengenang pengorbanan anggota keselamatan negara yang terbabit dalam operasi berkenaan.

Berita Harian

Comments