Home Santai@menara Kerja Sampingan Yang Menjadi Perniagaan Tetap

Kerja Sampingan Yang Menjadi Perniagaan Tetap

SHARE

Evolusi perkembangan industri fesyen di tanah air kita jelas mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutama sekali dalam kategori pakaian muslimah. Tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan tidak melepaskan peluang menjadikan bidang fesyen ini sebagai satu platfom untuk menjana pendapatan. 

Dalam ekonomi serba mencabar, bukan mudah bagi yang tidak mempunyai ‘minat’ semulajadi untuk  menceburi alam perniagaan. Lebih-lebih lagi, dalam industri fesyen yang didominasi oleh kaum wanita. Berbeza dengan sosok tubuh kental ini, Mohamad Hafiz Bin Rahmatullah yang merupakan pengasas Color Blast Closet, telah membuktikan tiada apa yang mustahil untuk berjaya. 

Walaupun pada mulanya beliau langsung tidak mempunyai minat terhadap bidang fesyen namun atas dasar tanggungjawab terhadap keluarga, beliau tetap berkeras untuk mencuba perniagaan ini. Seolah-olah beliau tahu ianya akan memberi faedah dan kebaikan kepada keluarganya.

Bermula dengan hanya membantu isterinya menjual kain ela atas talian, beliau mendapati perniagaan ini mempunyai prospek yang baik dan bukan sahaja dapat menjana pendapatan sampingan, tetapi dengan perniagaan ini beliau dapat menjana pendapatan tetap yang lumayan. Berbekalkan modal permulaan sebanyak RM3000, beliau dan isteri telah mula menghasilkan baju kurung dan pelbagai jenis jubah sehingga perniagaan mereka semakin besar dan mendapat tempat dihati pelanggan. 

Menurut beliau, setiap produk jubah yang dikeluarkan sangat sesuai untuk digayakan ke pejabat, majlis kenduri dan juga majlis-majlis tertentu. Apa yang paling penting, produk yang dikeluarkan adalah patuh syariah dan harga yang ditawarkan juga mampu milik dimana setiap produk keluarannya berharga seratus ringgit ke bawah. Dengan itu, setiap orang berpeluang untuk memiliki busana dari Color Blast Closet tanpa perlu meragui kualiti jahitan yang dijamin memuaskan hati para pelanggan. 

“Buat masa sekarang, kita mempunyai produksi sendiri di mana kita mempunyai kilang untuk mengeluarkan produk sendiri dan kapasiti pengeluaran kita adalah 13 ribu helai setiap bulan.” 

“Medium marketing (pemasaran) utama kami ialah ‘facebook’ dan ‘instagram’. Selain dari media massa, kami juga terlibat dengan pemasaran di TV3 pada pengujung bulan April yang lepas,” ujar beliau. 

Tidak dapat dinafikan, perjalanan dunia perniagaan ini ada ombak dan durinya. Bak kata Heidi Klum: “One Day You’re In & the Next Day You’re Out”. Mereka harus berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan perniagaan berjalan dengan baik dan sistematik. Berkongsi pengalaman yang sukar sepanjang menjalankan perniagaan, pengasas Color Blast Closet akui pernah menghadapi kesukaran apabila membuat satu keputusan untuk mengeluarkan satu rekaan, dan akhirnya rekaan tersebut tidak mendapat sambutan sehingga menyebabkan masalah dalam pusingan modal. 

Namun, kekangan yang ada tidak melenturkan semangatnya untuk terus melangkah dalam dunia fesyen ini. 

“Cara saya menangani masalah tersebut ialah dengan mengkaji semula kesilapan yang dibuat. Dan sentiasa cari jalan untuk memperbaikinya. Dari situ, saya belajar bahawa kita bukan sahaja perlu menambah baik strategi perniagaan apabila ditimpa masalah tetapi kita perlu menambah baik setapak kehadapan walaupun perniagaan berada dalam status yang baik supaya perniagaan boleh bersifat mandiri dan berkembang dengan sihat,” katanya lagi. 

“Bersedia untuk melakukan perkara yang kita tidak minat untuk berjaya,” itulah prinsip yang dipegang oleh Mohd Hafiz sehingga beliau dan isteri berjaya memiliki empayar perniagaan fesyen muslimah yang semakin dikenali dalam pasaran. 

Sebelum penulis mengakhiri temu bual, beliau turut menasihati mereka yang berminat untuk menceburi perniagaan dunia fesyen ini agar bermula secara kecil-kecilan dahulu kerana menurut beliau tempoh tiga tahun pertama ini adalah fasa untuk seseorang itu memahami industri fesyen, kehendak dan keperluan pelanggan serta cabaran yang bakal dihadapi.

Comments