Home Tempatan Kerajaan terus komited dukung Islam

Kerajaan terus komited dukung Islam

SHARE

BARU-BARU ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataannya menjelaskan bahawa kerajaan akan terus komited mendukung Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam adalah Agama Persekutuan dan pada masa yang sama agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Berasaskan komitmen itu juga, Perdana Menteri menyatakan rasa syukur beliau tentang realiti umat Islam pada hari ini yang sudah boleh bekerjasama dan bersatu bagi memastikan kesucian agama Islam terus subur dan dipelihara.

Kenyataan Perdana Menteri ini perlu dilihat dalam konteks dan kerangka yang luas melampaui sentimen kepuakan dan batas kepartian. Perbezaan fahaman politik kepartian dalam kalangan umat Islam sebenarnya tidak boleh menjadi batu penghalang kepada usaha mencapai perpaduan dan kesamaan dalam isu dan perkara yang melibatkan maruah dan martabat Islam.

Hakikatnya umat Islam di Malaysia pada hari ini tidak pernah mengancam dan jauh sekali cuba untuk mengganggu-gugat kedudukan agama lain. Umat Islam di Malaysia sentiasa menzahirkan sikap tolak-ansur dan toleransi yang tinggi kepada penganut agama lain.
Apa yang dilakukan adalah selaras dengan semangat dan kehendak Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

Jaminan yang diberikan Perdana Menteri perlu disambut oleh umat Islam dan rakyat seluruhnya sebagai satu perimeter pemikiran yang terbuka, bersifat wasatiah dan sentiasa meletakkan kebenaran pada tempatnya yang sebenar.

Apa yang perlu difahami adalah keamanan negara yang dinikmati pada hari ini banyak disumbangkan oleh sikap wasatiah, bertolak-ansur, toleransi dan kesatuan dalam kalangan umat Islam sendiri.

Sebagai agama utama di Malaysia, Islam dan penganutnya yang majoritinya berbangsa Melayu merupakan teras kepada keamanan Malaysia hari ini.

Walaupun terdapat banyak isu-isu yang melingkari umat Islam sehingga mewujudkan ‘sengketa’ politik, namun umat Islam di Malaysia kelihatan semakin matang dalam membezakan antara isu yang datang bersilih ganti dengan asas kenegaraan yang perlu dipertahankan.

Dalam konteks ini, asas kenegaraan adalah kunci kepada keharmonian dan perpaduan eksklusif antara umat Islam sendiri.

Pelbagai isu yang muncul perlu dilihat sebagai satu proses biasa dalam tatacara hidup demokrasi yang membenarkan warganegara menyampaikan pendapat sama ada menyokong dan membangkang. Tetapi pada akhirnya warganegara memahami dan dapat membezakan antara isu dengan asas kenegaraan.

Mana mungkin keamanan di Malaysia dapat dicapai sekiranya berlaku perpecahan yang serius dalam kalangan umat Islam. Perpecahan yang ditakuti ini adalah perpecahan yang tiada langsung titik persamaan dan tidak dapat lagi duduk bersama berbincang tentang kepentingan umat dan kesucian Islam.

Pada saat itu, pastinya perpaduan negara yang bersifat inklusif yang turut melibatkan bukan Islam tidak dapat dicapai.

Bagaimana mungkin mahu menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum dan agama jika bangsa dan agama teras Malaysia iaitu Melayu dan Islam berada dalam keadaan berantakan dan berpecah-belah.

Melihat kepada keadaan ini, sebarang usaha yang cuba untuk mengheret rakyat dan negara kepada kancah ekstremisme yang bersifat liberal dan radikal perlu diatasi.

Elemen ekstremisme seperti inilah yang sebenarnya menimbulkan provokasi dan mencetuskan kebencian sehingga akhirnya menggugat keamanan negara.

Benarlah apa yang disebutkan oleh Ibn Khaldun dalam karyanya Muqaddimah bahawa kekuatan negara terletak pada kekuatan perpaduan kaum dan agama terasnya.

Jika kaum dan agama teras berpecah maka alamatnya keamanan dan kemakmuran negara berada di hujung tanduk.

Sinar Online

Comments