Home Tempatan Kerajaan tak perlu gentar provokasi Freedom Fund – PERKASA

Kerajaan tak perlu gentar provokasi Freedom Fund – PERKASA

SHARE

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan agar tidak gentar dengan provokasi yang dilakukan oleh kumpulan Freedom Fund yang menggesa pembubaran Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) supaya mereka boleh gantikan dengan satu bentuk undang-undang percetakan yang selari dengan hak asasi manusia.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islamnya, Dr Amini Amir Abdullah menegaskan, golongan kuffar dan sesat ini menubuhkan gerakan tersebut untuk mengumpul dana bagi membiayai tertuduh dalam kes-kes ajaran sesat selain bertindak untuk menyaman kerajaan.

Beliau berkata, perbuatan ini jelas boleh dilihat sebagai usaha sistematik untuk menentang kerajaan, undang-undang syariah dan kuasa Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, kumpulan ini sebenarnya menggesa pembubaran Akta Mesin Cetak 1984 iaitu Akta 301 di mana kononnya mereka mendakwa akta ini bertentangan dengan hak asasi manusia.

Dr Amini berkata, akta mesin cetak ini telah banyak digunakan untuk mengharamkan penerbitan-penerbitan yang bertentangan dengan falsafah perlembagaan persekutuan dan juga bertentangan dengan aspirasi negara.

“Sebenarnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atau Akta 301 ini tidak harus di tentang dan perlu diteruskan oleh kerajaan,”katanya.

Beliau berkata, pihaknya menggesa kerajaan agar tidak gentar dengan provokasi dan desakan kumpulan Freedom Fund ini yang mana di antara mereka yang menggangotai kumpulan ini ialah Azmi Sharom yang memperjuangkan pengharaman 22 karya tokoh-tokoh Islam Liberal dan juga Pluralisme seperti Farouk Musa, Faisal Tehrani yang juga pengikut Syiah, Wan Ji (DAP), Mustapa Akyol yang membawa kuat ajaran dan pemikiran Liberalisme.

Menurut beliau lagi, apabila kerajaan mengharamkan maka tidak boleh dipertikaikan oleh kelompok Islam Liberal dan juga puak-puak Pluralisme termasuklah Syiah ini kerana kuman mereka ini tidak boleh dibiarkan untuk tersebar dan berjangkit dalam kalangan pemikiran masyarakat Malaysia.

“Maka kerajaan perlu tegas dengan mengharamkan karya-karya tokoh-tokoh Islam Liberal dan Pluralisme ini termasuklah beberapa buah buku yang masih ada di pasaran mahupun yang telah menyelinap masuk ke universiti-universiti mahupun yang masih terdapat di beberapa toko-toko buku,”katanya.

Beliau berkata, jelas pada dasarnya fahaman kelompok ini bertentangan dengan ajaran Islam dan aspirasi nasional.

“Mereka ini boleh menggangu gugat keselamatan negara, ketenteraman awam dan seumpamanya,”katanya.

Dr Amini berkata, sebenarnya memang semua orang boleh menulis tetapi biarlah dalam wacana intelektual dan bukannya menyebarkan fahaman-fahaman sesat dan menyeleweng termasuklah Islam liberal, sekular dan seumpamanya apatah lagi mereka bersekongkol dengan akidah kuffar untuk menggangu gugat kedaulatan Islam dalam negara ini.

Beliau berpendapat, berkenaan usaha pihak ini untuk menggembeleng orang awam bagi menentang syariah dan ajaran Islam di negara ini yang terletak di bawah kuasa Raja-Raja Melayu adalah suatu usaha yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Dr Amini, perkara ini adalah satu daripada alasan yang boleh digunakan untuk mengharamkan karya-karya mereka termasuklah karya-karya yang boleh menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Umat Islam perlu menentang usaha puak-puak Freedom Fund ini kerana ada sesuatu yang diperjuangkan oleh mereka yang konon wujudnya Islamic Terrorist dan mereka mendefinisikan diri mereka sebagai yang mewakili kelompok Islam sebenar.

“Pada pandangan saya, kelompok Islamic Terrorist itu sangat kecil bilangannya (puak-puak minoriti) sahaja.”

“Akan tetapi kita harus ingat bahawa kerajaan perlu tegas dalam soal menangani ajaran sesat dan penerbitan karya-karya mereka, bukan sahaja Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh menggunakan Akta 301, bahkan Jakim juga boleh berperanan untuk mengharamkan buku-buku yang mempunyai elemen Islam liberal dan pluralisme ini,”katanya.

Beliau berkata, seharusnya kita perlu tahu pemikiran mereka ini ke arah mana dan dana Freedom Fund ini walaupun mereka mempunyai hak untuk mengumpulnya.

Menurutnya, NGO-NGO Islam patut bangkit bagi menegakkan hak dan bersatu menentang puak-puak ini yang kononnya mahu melawan ‘Islamic Terrorist’.

“Sehingga kini mereka tidak pernah memberikan definisi yang tuntas mengenai Islamic Terrorist yang di war-warkan bahkan merekalah yang sebenarnya ‘Islamic Terrorist’ itu.

Katanya, tujuan Freedom Fund itu sendiri juga tidak jelas dan disalahgunakan bagi menentang kerajaan termasuk membangkang kerajaan.

Menurut beliau lagi, tindakan yang boleh dibuat ke atas kumpulan yang masih bertegas ingin menyebarkan kesesatan dan campur tangan isu-isu umat Islam ialah Jakim dan JAWI serta Jabatan Agama Islam Negeri boleh menghalang mereka ini, pertama dari segi penceramah agama yang kita lakukan kepada Mustapa Akyol kerana tidak bertauliah.

“Yang kedua kita perlu mengharamkan ke semua buku-buku yang dikarang oleh puak-puak ini termasuklah Azmi Sharom dan seumpamanya termasuklah mengkaji semula semua buku mereka dan saya percaya kelompok-kelompok mereka ini terdiri daripada IDEAS dan juga Penang Institute.”

Beliau berkata, seperti Azmi Sharom yang masih lagi merupakan pensyarah Undang-undang di Universiti Malaya sehingga kini bebas menyebarkan dahyah-dakyah terpesong beliau.

“Jadi kita menggesa pihak Universiti Malaya memantau pergerakkan Azmi Sharom ini kerana kita khuatir dia mempengaruhi pemikiran mahasiswa.”

“Idea beliau sendiri sebelum ini pun ternampak banyak pertentangan dari aspek aspirasi kerajaan sendiri selain terlalu banyak aktiviti beliau ini yang mengkritik kerajaan dengan hujah-hujah yang berselindung dan memperjuangkan sesuai atas nama hak asasi manusia sehingga berjaya menyampaikan agenda liberalisme dan flurelisme di kalangan mahasiswa.

Menurutnya, banyak perkara yang dimanipulasikan oleh beliau dan saya percaya fahaman ini sangat merbahaya termasuk memperjuangkan LGBT yang juga termasuk di dalam rencana hak asasi manusia ciptaan mereka.

“Bagaimanapun hak asasi manusia dalam konteks Islam itu sendiri sebenarnya ada hadnya, bukan semata-mata hak seperti yang difahami mengikut pendekatan dan acuan barat,”katanya.

Beliau berkata, penyebaran pemikiran seumpama ini perlulah terus dipantau dan tidak sepatutnya pihak universiti mendiamkan diri melihat kerosakkan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Comments