Home Tempatan Kerajaan peka keperluan kesihatan jemaah haji

Kerajaan peka keperluan kesihatan jemaah haji

SHARE

SEGAMAT – “Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan kesihatan  jemaah haji  semasa menunaikan ibadah di tanah suci Makkah dan Madinah,” kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S.Subramaniam.

Beliau berkata setiap tahun, Kementerian Kesihatan menghantar pasukan perubatan lengkap yang disertai oleh doktor dan jururawat menerusi kerjasama dengan Lembaga Tabung Haji bagi menjaga kesihatan rakyat Malaysia di sana.

“Pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan agensi berkaitan bagi menjaga kebajikan dan keperluan Jemaah haji.

“Ini adalah salah satu contoh jelas yang dilakukan oleh kerajaan bagi membantu rakyat, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara,” katanya pada sidang media selepas meraikan bakal haji kawasan Parlimen Segamat di Masjid Syed Alwi, dekat sini, hari ini.

Dr Subramaniam yang merupakan anggota Parlimen Segamat berkata rakyat negara ini bertuah kerana pihak kerajaan peka menyediakan kemudahan bagi memastikan keselesaan, kesihatan dan keselamatan jemaah haji di Tanah Suci.

Jelasnya, kemudahan tersebut tidak dapat dirasai oleh jemaah haji daripada negara lain dan rakyat Malaysia amat beruntung kerana mempunyai kerajaan yang sentiasa mengambil berat kebajikan rakyatnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata kementeriannya menyambut baik inisiatif kerajaan negeri Sarawak mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengekang penularan wabak Rabies atau penyakit anjing gila di sempadan.

Katanya, pihak kerajaan juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak Indonesia bagi memantau pergerakan haiwan yang memasuki kedua-dua negara.

“Ini adalah satu usaha yang baik kerana kedua-dua negara mempunyai masalah yang sama untuk membendung penyakit Rabies,” katanya.

Sinar Online

Comments