Home Tempatan Kerajaan negeri bersyukur RUU355 dibentangkan

Kerajaan negeri bersyukur RUU355 dibentangkan

SHARE

KOTA BHARU – Kerajaan negeri mewakili seluruh rakyat Kelantan merakamkan ucapan syukur diatas kejayaan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas di atas kejayaan membentangkan usul pindaan Akta 355 di Dewan Rakyat semalam.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, perbahasan usul berkenaan yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan juga sangat jelas dan memberi mesej yang berkesan kepada ramai Ahli-Ahli Dewan Rakyat termasuk Speaker Dewan Rakyat sendiri.

“Pada dasarnya pindaan ini adalah selari dengan kehendak perlembagaan bagi memperkasakan tuntutan agama Islam yang menjadi agama rasmi persekutuan sebagaimana Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Sepatutnya sudah lama akta ini diberi nafas baru setelah diluluskan sejak 52 tahun yang lalu dan ia hanya dipinda sekali iaitu pada tahun 1984. Pindaan kali ini adalah untuk meningkatkan hukuman maksimum kepada paras hukuman yang hampir atau sepadan dengan hukum syarak yang sememangnya sudah termaktub dalam Al-Quran dan Al-Sunnah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Timbalan Mursyidul Am Pas itu juga mewakili rakyat negeri ini melahirkan perasaan gembira dengan kejayaan Ahli Parlimen Marang membentangkan usul tersebut setelah sekian lama berusaha untuk melaksanakannya.

Bersesuaian dengan Kelantan yang meletakkan dasar Membangun Bersama Islam, maka segala usaha pemerkasaan tuntutan syariah menjadi keutamaan negeri ini dan kejayaan pembentangan usul pindaan tersebut adalah suatu langkah pertama untuk memertabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia.

Sinar Online

Comments