Home Tempatan Kerajaan Mempunyai Hak Untuk Mengharamkan Sesuatu Buku – Aidil Khalid (CLJ)

Kerajaan Mempunyai Hak Untuk Mengharamkan Sesuatu Buku – Aidil Khalid (CLJ)

SHARE

Putrajaya: Semua pihak dan individu mempunyai kebebasan untuk menerbitkan apa-apa pandangan ilmiah dan sebagainya namun, ia mestilah tidak bercanggah dengan peraturan dan undang-undang negara dan norma masyarakat setempat, begitu pandangan Koordinator Kempen Concerned Lawyers for Justice (CLJ), Saudara Aidil Khalid.

“Dari segi ‘freedom of expression’, kebebasan untuk menyampaikan pandangan, untuk berdiskusi, untuk berilmiah, kebebasan itu memang ada. Tetapi dengan kebebasan mestilah datang dengan tanggungjawab. Dengan tanggungjawab itu, dia terikatlah dengan norma tempatan, dengan undang-undang dan sebagainya.”

Selain itu, beliau juga percaya bahawa seseorang yang menulis dan menghasilkan sesuatu penerbitan itu terikat dengan disiplin akademik yang ditetapkan. Justeru, seseorang tidak boleh sesuka hati menggunakan lesen akademik sebagai alasan untuk mengeluarkan pandangan peribadinya.

“Kalau betul-betul ilmiah, ia tak sepatutnya lari daripada prinsip-prinsip. Contohnya, kalau dia nak tulis pasal Islam, kalau ia betul-betul ilmiah, dia tak bolehlah lari daripada prinsip-prinsip yang dah lama, ribuan tahun ditetapkan oleh ulama. Sebagai contohnyalah, dari segi isu akidah. Kalau dari segi isu-isu lain itu, samalah. Dia kena submit kepada kualiti akademik itulah. Maknanya dari segi disiplin akademik itu, dia kena ikutlah. Dia tak boleh sesuka hati nak menulis hanya semata-mata pandangan peribadi kemudian dia nak lepas dan kata, ini lesen ilmiah,” jelas aktivis undang-undang itu kepada wartawan Menara.my.

Bahkan, Aidil Khalid berkata, kerajaan mempunyai hak untuk mengharamkan sesuatu penerbitan atau melakukan sesuatu sekiranya pandangan ilmiah yang diterbitkan oleh individu atau pihak yang berkenaan bertentangan dengan moral dan norma masyarakat setempat.

“Kebebasan semestinya ada untuk siapa-siapa pun menerbitkan pandangan ilmiah dan sebagainya. Tetapi, sekiranya penerangan-penerangan itu memang betul-betul jelas bercanggah dengan kepentingan moral, norma masyarakat dan sebagainya, pada ketika itu boleh untuk diharamkan dan sebagainya.”

Tambahnya lagi, “Sekiranya pengharaman buku itu dibuat dengan cara yang bijaksana, dengan cara yang mengimbangi kepentingan kebebasan akademik dengan kepentingan awam, kepentingan menjaga akhlak awam dan sebagainya, maka, saya tak fikir ia akan menyebabkan kemunduran masyarakat dari segi ilmu pengetahuan. Bahkan, ia akan lebih mempromosikan kebijaksanaan di kalangan masyarakat dengan cara ia (pengharaman buku) bahawa bahan yang sampai kepada masyarakat ialah yang benar-benar betul, bukan ketidak jujuran intelektual.”

Baru-baru ini pensyarah UCSI Tajudin Rasdi mempersoalkan tindakan yang diambil oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku penulis liberal berketurunan Turki, Mustafa Akyol, “Islam without Extremes: A Muslim Case for Liberty” dan edisi Bahasa Melayu-nya yang bertajuk, “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan”.

Ahli DAP itu bertanya Menteri KDN yang juga merangkap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sama ada beliau memahami fungsi kajian ilmiah dan sarjana kedoktoran (Phd).

Comments