Home Tempatan Kerajaan Kerjasama Dengan Pengendali Media Sosial Tutup Akaun Palsu

Kerajaan Kerjasama Dengan Pengendali Media Sosial Tutup Akaun Palsu

SHARE
KUALA LUMPUR, 17 Julai -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya bersama 60 anak-anak yatim dari Rumah Bakti Nur Shahirah dan Rumah Anak-anak Yatim Darul Syifa pada Majlis Mesra Aidilfitri Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.?Turut hadir Ketua Pengarah Jasa Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. -- fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) — Kerajaan bekerjasama dengan pengendali media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram bagi memadamkan akaun palsu yang digunakan untuk tujuan negatif.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata beberapa bukti yang diperoleh telah dikemukakan kepada pihak tersebut bagi membantu mereka memadamkan akaun palsu itu.

“Ada antara akaun palsu ini menggunakan platform luar negara dan sehingga kini kita sudah melakukan perundingan dengan mereka, ada yang sudah diambil tindakan (menutup akaun palsu).

“Bagi akaun palsu yang dihos dalam negara, tiada masalah kita boleh padam terus,”katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di sini, malam ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pengarah JASA, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Sebelum ini, dari Januari hingga Jun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima aduan awam hampir 1,500 akaun palsu di platform media sosial yang digunakan untuk tujuan negatif termasuk penyebaran berita palsu dan serangan fitnah terhadap pemimpin negara.

Bagaimanapun Salleh tidak menjelaskan secara terperinci berapa jumlah akaun palsu yang sudah dikenakan tindakan kerana perkara itu masih dalam proses siasatan termasuk mendapatkan bahan bukti sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Bernama

Comments