Home Tempatan Kerajaan gesa pihak berkuasa buru kumpulan ateis

Kerajaan gesa pihak berkuasa buru kumpulan ateis

SHARE

KUALA LUMPUR, 16 Zulkaedah 1438H, Rabu – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa pihak berkuasa memburu kumpulan ateis di negara ini secara menyeluruh kerana ia jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan agama Islam di semua negeri.

Gesaan beliau itu susulan dakwaan kewujudan Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang tular di laman sosial, baru-baru ini.

Shahidan turut menggesa khususnya Majlis Agama Islam negeri untuk memperbetulkan akidah mereka sekiranya ia membabitkan orang Islam.

“Semua (kerajaan) negeri juga harus memburu mereka kerana negara ini adalah negara yang beragama, sama ada Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya. Tak ada yang tidak beragama.

“Dalam Perlembagaan juga menyebut Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain dibenarkan diamalkan dengan aman dan damai. Tidak sebut pun ateis. Mereka melanggar Perlembagaan.

“Saya cadangkan buru habis-habisan, manakala media perlu tolong kami untuk mengenal pasti mereka ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Bagaimanapun jelasnya, usaha memburu kumpulan berkenaan perlu dilaksanakan secara berhempah supaya tidak mencetuskan kekecohan, sekali gus menimbulkan rasa simpati terhadap mereka, selain mempopularkan ideologi yang menolak kewujudan tuhan itu.

Beliau percaya, faktor kekurangan ilmu agama menjadikan kebanyakan individu menjadi ateis, dan mudah terpesong dengan pemikiran baru.

“Di akhirat nanti, kita akan dipersoal adakah kita telah bagi penjelasan sewajarnya kepada mereka. Jadi mufti dan kerajaan negeri perlu beri perhatian walaupun mereka ini jumlahnya sedikit,” katanya.

Comments