Home Tempatan Kerajaan Berjaya Batal Saman Hindraf

Kerajaan Berjaya Batal Saman Hindraf

SHARE

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan empat yang lain berjaya membatalkan saman pemula pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia, P Waytha Moorthy dan 18 individu lain yang menuntut pengisytiharan bahawa pendakwah tersohor, Dr Zakir Naik mengancam keselamatan negara dan tidak seharusnya diberikan status pemastautin tetap, lapor Bernama.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi yang membenarkan permohonan kesemua defendan iaitu Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Polis Negara (KPN), dan Kerajaan Malaysia di dalam kamarnya.

Kesemua defenden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Khairul Nizam Mohd Kamal manakala peguam S Karthigesan mewakili Waytha Moorthy dan 18 yang lain selaku plaintif.

Turut hadir peguam Adnan Seman dari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang bertindak sebagai pencelah dalam kes ini. Beliau berkata mahkamah membenarkan permohonan kesemua defendan atas alasan Dr Zakir tidak dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu bagi menjawab semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Menurut beliau, mahkamah juga mendapati saman pemula itu adalah remeh dan menyusahkan serta turut memerintahkan kesemua plaintif membayar kos berjumlah RM5,000 kepada kesemua defendan.

“Oleh itu, mahkamah turut membatalkan saman pemula difailkan plaintif terhadap kesemua defendan,” katanya.

Sementara itu, Karthigesan berkata pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan pembatalan itu secepat mungkin.

Dalam saman yang difailkan pada Mac 2017 lalu, Waytha Moorthy bersama-sama 18 yang lain terdiri daripada ahli politik, peguam dan badan bukan kerajaan (NGO), menuntut perintah perisytiharan bahawa penceramah terkenal itu merupakan ancaman terhadap ketenteraman rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini dan perlu ditangkap serta-merta.

Kemudian, pada 20 Sept tahun lalu, mereka memfailkan permohonan untuk meminda saman pemula dengan memohon pengisytiharan bahawa pendakwah itu adalah ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam negara ini dan oleh itu, tidak berhak mendapat status pemastautin tetap di Malaysia.

Mereka turut mendakwa Dr Zakir Naik menggalakkan keganasan, dihalang memasuki beberapa negara kerana disyaki bekerjasama dengan beberapa kumpulan pengganas selain memberi dorongan kepada warga asing yang berada di negara ini untuk mengganggu ketenteraman awam.

Terdahulu, Hindraf pernah menggesa Jawatankuasa Memerangi Keganasan Majlis Keselamatan (CTC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menasihati Malaysia agar membatalkan status Pemastautin Tetap (PR) diberikan kepada Dr Zakir Naik.

Comments