Home Antarabangsa Kerajaan Bangladesh jaga keselamatan Nautical Aliya

Kerajaan Bangladesh jaga keselamatan Nautical Aliya

SHARE

TELUK BENGAL 13 Feb. – Kerajaan Bangladesh memberi jaminan untuk mengawal keselamatan kapal Nautical Aliya yang berada di perairan Cox Bazar, Bangladesh.

Komander Kapal Tentera Laut Bangladesh F28, Kapten Muhammad Nizamul Haq berkata, sejak Nautical Aliya memasuki perairan Bangladesh pada pukul 4 pagi hari ini (waktu Malaysia), dua kapal tentera laut dan dua kapal peronda pantai Bangladesh mengiringi Nautical Aliya sehingga ke Cox Bazar.

“Tentera Laut Bangladesh memberi jaminan keselamatan kepada Nautical Aliya dan petang ini tiga lagi kapal tentera laut akan datang ke kawasan ini,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Nizamul mengadakan perjumpaan dengan Ketua misi kemanusiaan Malaysia, Food Flotilla for Myanmar, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan sekretariat flotilla di bilik operasi Nautical Aliya kira-kira pukul 1.15 tengah hari ( waktu Malaysia).

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata, kerajaan Bangladesh memberi cadangan agar kapal tersebut berlabuh di perairan Cox Bazar dan barangan yang dibawa Nautical Aliya akan diangkut dengan menggunakan kapal pengangkut.

“Buat masa ini, Cox Bazar merupakan pilihan yang terbaik memandangkan lokasinya yang hampir dengan kem Kutupalong.

“Mesyuarat antara pasukan peninjau misi dengan kerajaan Bangladesh sedang berlangsung dan dalam tempoh dua jam lagi kita akan ketahui sama ada visa ketibaan (VOA) diperoleh atau tidak, setakat ini saya positif mengenainya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Utusan Malaysia

Comments