Home Tempatan Kerajaan akan kaji pengiktirafan UEC, kata Zahid

Kerajaan akan kaji pengiktirafan UEC, kata Zahid

SHARE

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan meminta menteri pendidikan menjalankan kajian mendalam berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaaan Bersepadu (UEC).

UEC adalah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah menengah Cina di seluruh negara, sejak 1975. Ia diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk Universiti Oxford, tetapi bukannya di Malaysia.

Borneo Post Online memetik Zahid sebagai berkata, hasil kajian itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya tahu kepentingan mengiktiraf UEC yang masih belum selesai sehingga hari ini. Tambahan, ia adalah isu yang diambil berat Tan Sri Adenan Satem, di mana beliau meletakkan banyak komitmen terhadapnya,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Kuching, baru-baru ini.

“Saya akan meminta menteri pendidikan menjalankan kajian mendalam mengenai pengiktirafan itu sebelum mengemukakannya kepada perdana menteri supaya beliau boleh membawa ke Kabinet dan mencari penyelesaiannya.”

Zahid berkata, menteri persekutuan dari Sarawak, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri akan mengikuti perkembangan itu dan “menjadi suara” untuk kaum Cina Sarawak ketika pembentangan mengenai pengiktirafan UEC dalam kabinet kelak.

Di bawah pentadbiran Adenan, Sarawak mengiktiraf sijil itu yang bermakna lepasan UEC boleh mencari pekerjaan dalam sektor awam negeri, memasuki kolej dan universiti milik negeri serta memohon pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak.

UEC yang dibangunkan di Malaysia, diiktiraf pelbagai universiti terkemuka di seluruh dunia, termasuk Institut Teknologi California, Universiti Harvard, Universiti Oxford, Universiti Cambridge, Universiti Toronto dan Universiti Nasional Singapura (NUS).

Tetapi di Malaysia, UEC tidak diiktiraf Kementerian Pendidikan Tinggi untuk kemasukan ke universiti kerajaan.

Sejak kebelakangan ini, UEC menjadi isu kontroversi, terutamanya ketika pilihan raya di mana parti politik menggunakannya sebagai alat untuk kepentingan politik sendiri.

Penyokong UEC berkata, Malaysia rugi kerana tidak mengiktiraf sijil itu, manakala pengkritik pula berhujah ia tidak sejajar Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon yang menyambut baik pengumuman Zahid itu berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah memberi pengiktirafan penuh kepada UEC kerana ia merupakan isu penting melibatkan kemasukan ke universiti awam dan perkhidmatan awam.

“Saya menyambut baik kenyataan berkenaan, malah ketua menteri Sarawak (Datuk Abang Johari Openg) juga membuat kenyataan UEC terus diiktiraf di negeri itu.

“Dong Zong juga menyatakan kesediaannya berbincang dan mengemukakan beberapa syor bagi menyemak semula dan menambah baik peperiksaan itu agar ia sejajar dasar pendidikan kebangsaan,” katanya dipetik Bernama selepas menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan Sri Lanka ke-69 anjuran Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, hari ini.

Free Malaysia Today

Comments