Home Tempatan Kepada Gopal Sri Ram, Malaysia Bukan Negara Sekular

Kepada Gopal Sri Ram, Malaysia Bukan Negara Sekular

SHARE

Gopal Sri Ram dan Pemasyhuran Kemerdekaan

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular. Beliau berkata sedemikian setelah seorang anggota polis maut dalam percubaan melarikan diri daripada serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pegawai Polis tersebut dikatakan telah terjun daripada tingkat empat sebuah bangunan di Cheras. Menyangkal tindakan JAIS, Gopal, menjelaskan bahawa pendapatnya adalah berdasarkan penghakiman kes Che Omar Che Soh lawan Pendakwaraya oleh Tun Salleh Abbas. Di dalam penghakiman tersebut Hakim dikatakan telah menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Namun demikian pengadilan ini telah dibuat pada tahun 1988, hampir lebih tiga dekad lepas. Terdapat banyak lagi kes yang telah diadili selepas itu yang menyentuh kedudukan Islam sebagai Agama Negara. Kewujudan Mahkamah Syariah itu sendiri adalah bukti bahawa Malaysia bukan negara sekular.

Andaikata, Malaysia adalah sebuah negara sekular, tidak mungkin akan wujud Mahkamah Syariah, ini kerana prinsip sekularisme mengamalkan perpisahan antara agama dan pentadbiran. Sebagai contoh, dalam kes Kalimah Allah, penghakiman yang dibuat adalah demi mempertahankan kedudukan Islam di dalam negara kita.

Sekiranya negara Malaysia merupakan negara sekular, sudah tentu tidak akan timbul persoalan berkenaan kedudukan Islam. Selain daripada itu kenyataan Gopal yang berbunyi “Saya memberikan penghormatan kepada individu terpelajar seperti Salleh berbanding pandangan orang lain yang kurang terpelajar daripada beliau”.

Pendapat Gopal ini seolah-olah melabel mereka yang mempunyai pendapat berlainan adalah kurang terpelajar. Adakah hakim-hakim mahkamah kita adalah dari kalangan mereka-mereka yang tidak terpelajar? Pada hakikatnya kata-kata Tun Saleh Abbas tidak merujuk pada ideologi negara akan tetapi penggunaan sistem perundangan yang berbentuk sekular.

Artikel seorang aktivis guaman, saudara Aidil Khalid, ‘Wither The Myth Of A Secular Nation’ dengan jelas dan nyata membuktikan bahawa apa yang dimaksudkan oleh Tun Saleh Abbas bukanlah Malaysia sebagai sebuah negara sekular. Sehingga hari ini artikel yang keluar pada 12hb Jun 2014 masih belum dijawab balas oleh mana-mana pakar undang-undang, termasuk Gopal sendiri.

Gopal juga kemudiaanya menyentuh isu khalwat di antara orang Islam dan bukan Islam. Jika perkara sebegini berlaku maka orang Islam itu akan didakwa di bawah Mahkamah Syariah dan yang bukan Islam akan terlepas. Tidak pernah seseorang bukan Islam itu didakwa bawah Mahkamah Syariah. Dari perspektif orang bukan Islam ini mungkin dilihat sebagai satu bentuk ketidakadilan namun pada hakikatnya ianya satu bentuk keadilan yang tidak ternilai.

Kesalahan yang dihukum dibawah sistem perundangan Syariah adalah bertujuan untuk menghapuskan dosa-dosa pesalah dan mengelakkan azab sengsara di akhirat kelak. Mungkin aspek keadilan ini tidak akan dapat difahami oleh mereka yang bukan beragama Islam. Maka adalah tidak adil jika komen-komen dikeluarkan dalam keadaan tidak mengetahui hakikat sistem perundangan Islam.

Penghuni masyarakat majmuk seharusnya tidak mempersoalkan hal-ehwal agama lain yang tidak melibatkan mereka. Sebagaimana orang Islam tidak mempersoalkan upacara keagamaan seperti upacara Kavadi semasa Thaipusam, maka sebaliknya juga, orang bukan Islam juga tidak patut mempersoalkan perkara-perkara yang menjadi tunggak kepada Agama Islam dan amalan budaya masyarakat Muslim.

Comments