Home Tempatan Kenyataan Siti Kasim Menyimpang Daripada Fahaman Sebenar – Mufti Wilayah Persekutuan

Kenyataan Siti Kasim Menyimpang Daripada Fahaman Sebenar – Mufti Wilayah Persekutuan

SHARE

Kuala Lumpur: “Berdasarkan kepada pandangan dan pengamatan kami dengan pelbagai kenyataan oleh saudari Siti Kasim, maka kami berpendapat bahawa kenyataan beliau adalah menyimpang daripada fahaman yang sebenar.” Demikian menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Sohibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri dalam Bayan Linnas siri ke 114.

Bayan Linnas dengan tajuk “Ibadah Korban: Menjawab Dakwaan Siti Kassim” telah dimuatkan dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 15 September 2017.

Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri turut menggesa Siti Kasim supaya merujuk kepada sumber-sumber yang muktabar dan terpercaya serta badan-badan berautoriti apabila bercakap berkenaan isu-isu agama. Malah, aktivis yang juga merupakan seorang peguam tersebut digesa supaya merujuk kepada para ulama untuk mendapatkan maklumat sebenar lagi tepat berkenaan sesuatu isu.

“Logik akal semata-mata bukanlah suatu yang tepat apabila ia bercanggah dengan nas. Kami dengan ini berharap supaya saudari Siti Kasim merujuk kepada para ulama untuk mendapatkan maklumat yang sebenar lagi tepat berkenaan sesuatu isu. Fahamilah bahawa dalam mencari dan mengkaji sesuatu ilmu, kita juga perlu menginsafi diri yang penuh dengan kekurangan dan keterbatasan akal fikiran.”

Siti Kasim baru-baru ini dikritik ramai kerana membuat beberapa kenyataan berkenaan ibadah korban termasuk menyatakan bahawa al-Quran tidak pernah menyebut bahawa mimpi Nabi Ibrahim AS itu datang dari Tuhan.

Bayan Linnas siri ke 114 menjawab persoalan-persoalan yang berbangkit mengenai kenyataan Siti Kasim tersebut. Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa “mimpi Nabi adalah wahyu” dan “mimpi Nabi Ibrahim adalah perintah Allah”. Malah, pandangan yang mengatakan bahawa tidak terdapat dalam al-Quran suatu ayat pun yang menunjukkan Allah SWT memberi arahan kepada Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya adalah suatu yang tidak tepat.

Pejabat Mufti juga menegur kenyataan kononnya amalan korban hanya membawa kepada pertumpahan darah secara sia-sia dan menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar adalah satu kenyataan yang jahat dan tidak berpijak pada dunia realiti.

“Ini kerana, hikmah daripada ibadah korban adalah memberi makan kepada yang memerlukan. Daripada hasil korban, daging-daging tersebut dapat diagihkan kepada masyarakat.”

“Tiada kajian atau fakta kukuh yang menyatakan bahawa ‘environmental destruction’ di mana-mana negara umat Islam berpunca daripada penyembelihan korban.”

Comments