Home Tempatan Kenyataan Media YAPEIM berhubung Isu Saman RM 20 Juta

Kenyataan Media YAPEIM berhubung Isu Saman RM 20 Juta

SHARE

Pihak Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) telah mengeluarkan kenyataan rasmi sebentar tadi berhubung isu saman RM 20 Juta oleh pihak pengasas Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, pihak YAPEIM menjelaskan bahawa pihak mereka masih belum menerima writ saman daripada pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut secara rasmi.

Pihak YAPEIM juga menjelaskan bahawa, Mohd Yusoff A Bakar dan Ahmad Fadhil Hashim telah terlebih dahulu disaman oleh pihak YAPEIM pada 29 November 2016. Kedua-duanya merupakan pengarah PEMANGKIN yang didakwa mahu menyaman YAPEIM, Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom dan beberapa indivu lagi dengan nilai saman RM 20 Juta.

Pihak YAPEIM turut menjelaskan bahawa sama pada 29 November 2016 itu juga dibuat secara tindakan terbitan (derivative action) di mana perintah injunksi diperolehi bagi membekukan kesemua akaun bank Mohd Yusoff A Bakar dan Ahmad Fadhil Hashim, untuk melindungi dan memelihara harta, aset-aset serta kepentingan PEMANGKIN.

Pada 23 Januari 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga di dalam kes yang sama, telah memberikan kebenaran memulakan prosiding untuk mengkomitkan ke penjara (commit to prison proceeding) terhadap Mohd Yusoff A Bakar dan Ahmad Fadhil Hashim di atas keengkaran mereka menyatakan aset-aset kepunyaan mereka dan PEMANGKIN.

Pihak YAPEIM sehingga kini masih menunggu untuk diserahkan kepada mereka writ saman yang dimaksudkan dan menuntut supaya ianya diserahkan dalam kadar segera bagi membolehkan pihak mereka meneliti klausa tindakan yang diniatkan ke atas pihak mereka.

Pihak YAPEIM menegaskan mereka sangat yakin dan percaya kepada sistem keadilan dan undang-undang negara dan melihat ke hadapan untuk menyelesaikan sebarang bentuk pertikaian menurut saluran undang-undang yang betul.

Comments