Home Tempatan Kenyataan G25 Keterlaluan – Faizal Mohd Yusof

Kenyataan G25 Keterlaluan – Faizal Mohd Yusof

SHARE

Kuala Lumpur: “Kenyataan yang keterlaluan dan tidak adil kerana G25 pun kita tidak tahu apa peranan mereka dan apakah fungsinya membantu IRC,” ujar aktivis NGO dan peguam Faizal Mohd Yusof.

Beliau berkata demikian ketika diminta pandangannya berkenaan pihak-pihak seperti pertubuhan tidak berdaftar G25 yang sedang mendesak supaya institusi-institusi Islam yang telah ditubuhkan setelah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dibubarkan.

Malah tegas beliau, turut menjadi persoalan pula, bagaimanakah pertubuhan tidak berdaftar seperti G25 diterima oleh IRC untuk memberi pandangan?

Menurutnya, “Sudahlah pandangan, desakan dan cadangan yang diberikan tidak berdasarkan kajian teliti malah, jelas bersifat semberono.”

“Harus diingat bahawa institusi-institusi yang dikritik oleh G25 adalah institusi yang telah mendapat perkenan penubuhannya dari Majlis Raja-Raja.”

“Bagi saya ini adalah satu bentuk budaya penderhakaan moden yang berlaku,” katanya.

Menurut Faizal lagi, Majlis Raja-Raja Melayu bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara agama Islam sebagai Agama Negara maka, meruntuhkan institusi-institusi agama yang telah mendapat perkenan Majlis, secara tidak langsung mencabar kedudukan Islam dan Melayu di negara ini.

Beliau selanjutnya berkata, agak keterlaluan apabila institusi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan beberapa agensi lain pada ketika ini diserang bertubi-tubi oleh kumpulan yang sering mendakwa negara ini sebagai sebuah negara sekular supaya dimansuhkan, sedangkan institusi-institusi seperti ini ditubuhkan bagi merealisasikan sumpah Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara Islam pada setiap masa.

Beliau turut berpesan kepada pemerintah yang baharu berkenaan peranan kerajaan dalam memartabatkan Islam di Malaysia ialah mereka wajib diperingatkan bahawa perubahan kerajaan ini adalah pertukaran pemegang amanah kepada pemerintahan negara.

“Tetap ada bezanya, malah di sini kita cuma bertukar pegang amanah tetapi sistem dan kerangka Raja Berperlembagaan masih sama.”

“Maka dengan itu, roh perlembagaan negara mesti dipertahankan dan unsur penting iaitu Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu mesti terus diperkasakan,” katanya.

Justeru tegas beliau lagi, institusi agama Islam itu mesti diperkukuhkan, bukan dihapuskan atau dikecilkan peranannya.

“Perlu ditegaskan di sini, kita bukan seperti negara Turki suatu masa dahulu di mana runtuhnya sistem Khalifah dan ditukar dengan sistem sekular yang diperkenalkan oleh Mustafa Kamal Attartuk.”

“Namun begitu, terdapat usaha agresif yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengubah persepsi sistem yang sedia ada kepada idea sekularisma secara total,” katanya.

Menurut Faizal lagi, hakikat ini perlu disedari dan diawasi oleh kerajaan agar tidak terpengaruh dengan idea sempit yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Ketika diminta pandangan beliau berhubung peranan dan tanggungjawab Ahli-Ahli Parlimen Islam di dalam kerajaan untuk memastikan supaya ada check and balance kepada tuntutan kumpulan-kumpulan pro-sekular dan liberal dalam negara ini, beliau berkata bahawa apa yang telah berlaku sekarang ini adalah dengan kehendak dan takdir Allah SWT.

“Siapa pun yang dipilih menjadi Ahli Parlimen, tidak kira dari parti mana pun yang diwakili mesti ada kesedaran dan rasa bahawa dia adalah Ahli Parlimen yang beragama Islam.”

Justeru, mesti ditanamkan agenda Melayu Islam di dalam jiwanya, mesti ada integriti, berani, amanah dan jujur pada jiwanya.

Tegas beliau, “Sekiranya elemen ini sudah ada pada jiwa setiap Ahli Parlimen yang beragama Islam maka, pasti kita mampu untuk mengekang gerak kerja dan agenda yang dibawa oleh segelintir Ahli Parlimen yang rosak dan liberal di dalam negara kita.”

Comments