Home Tempatan Kenyataan Berkaitan Islam Kena Rujuk Pakar, Kata Mufti Wilayah Persekutuan

Kenyataan Berkaitan Islam Kena Rujuk Pakar, Kata Mufti Wilayah Persekutuan

SHARE
KUALA LUMPUR 17 July 2014. Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Al-Bakri. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman.

BANGI, 8 Ramadan 1438H, Sabtu – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjemput Komuniti Muslim Universal (KMU) untuk berbincang bagi mendapatkan maklumat dan gambaran lebih jelas berhubung fahaman yang dibawakan kumpulan itu, lapor mStar Online.

Katanya, sebarang kenyataan berkaitan Islam, sebaik-baiknya dirujuk kepada pakar supaya tidak menimbulkan salah faham atau tafsiran, selari dengan kefahaman yang dikehendaki Islam.

“Ini penting untuk dititikberatkan agar kita sentiasa menggambarkan apa yang kita gambarkan itu serta persepsi yang dikemukakan tidak menyalahi apa yang dinyatakan dalam kitab al-Quran dan Sunnah.

“Kadang-kadang maksudnya lain, tapi tafsiran dan sangkaannya lain, maka lebih baik kita duduk berbincang bagi memperbetulkan kefahaman yang sepatutnya,” katanya mengulas mengenai KMU yang didakwa mempunyai pegangan dan kefahaman yang terpesong dari ajaran Islam.

Laporan itu turut menyebut KMU baru-baru ini menganjurkan Program Dialog Antara Agama dan Budaya untuk Belia (IIDY) dengan slogan ‘Kemanusiaan, Kehormatan dan Toleransi Anutan Kami’.

Selain ke gereja, program tersebut turut membabitkan pertemuan dengan kumpulan Ahmadiyaah atau Qadiani yang difatwakan sebagai ajaran sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar, dan pengikutnya difatwakan sebagai bukan Islam.

Dilaporkan, peserta program yang beragama Islam didakwa bersolat jemaah dan diimamkan salah seorang imam Qadiani. Walaupun Qadiani difatwakan sebagai bukan Islam, peserta program KMU menggunakan nilai anutan mereka iaitu ‘kemanusiaan’ untuk mereka bersolat jemaah.

Menurut laman web KMU, visi dan misinya adalah menyuarakan dan menekankan prinsip-prinsip asas dalam al-Quran dan hadis seperti kesamarataan, kasih sayang, keadilan sejagat dan kehormatan sesama manusia.

Dr Zulkifli berkata, ia perlu dipupuk budaya ilmu, mempelajari dan bertanya kepada sumber-sumber dan mereka yang berautoriti untuk bersama memperbaiki dan islahkan ke arah lebih baik dan tepat mengikut acuan syariat Islam.

Sementara itu, laporan juga menyebut, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kasim sebagai berkata, jabatan itu sedang memantau KMU sebelum mengambil tindakan lanjut.

Katanya, Jais tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap kumpulan itu kerana belum ada bukti kukuh ia terpesong daripada ajaran Islam.

“Belum ada kesahihan beserta bukti dan maklumat lengkap, jadi kita tak boleh nak dakwa mereka. Kita akan teliti maklumat dan kumpul bukti mengenai mereka.

“Setakat ini, kita cuma dapat maklumat mengenainya yang kini tular di media sosial. Jika ada maklumat sahih atau aduan beserta bukti seperti yang didakwa, kita akan ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Comments