Home Tempatan Kenapa kena lihat Islamophobia sudut negatif?

Kenapa kena lihat Islamophobia sudut negatif?

SHARE
Youseff Edghouch. - Foto Sinar Harian oleh ASRIL ASWANDI

SHAH ALAM – Isu Islamophobia di Amerika Syarikat(AS) bukanlah satu perkara baru, hampir setiap hari ada sahaja isu yang terjadi mengundang kemarahan penduduk dunia tambahan lagi dengan pelantikan Presiden baru mereka, Donald Trump lebih memburukkan keadaan.

Namun begitu,  Qari pertama AS, Youseff Edghouch, 30 tahun  mengutarakan persoalan mengapa perlu dilihat dari sudut negatif Islamophobia itu?

“Pada pendapat saya, kita tidak boleh hanya mengutuk tindakan mereka yang prejudis terhadap Islam sahaja tetapi cuba fikir adakah kita sendiri cuba melakukan sesuatu mengenainya?

“Sebagai orang Islam, seharusnya kita muhasabah diri dan lihat apa yang boleh dilakukan untuk mengubah pandangan orang bukan Islam mengenai agama yang dicintai ini.

“Kita seharusnya  bergiat aktif dengan mendidik mereka yang tidak tahu mengenai Islam dan tunjukkan betapa indahnya agama ini,” katanya ketika ditemui di Kumpulan Media Karangkraf.

Tambahnya lagi, beliau menerangkan mengapa boleh terjadi tanggapan yang salah masyarakat terhadap orang Islam.

“Selalunya mereka yang mempunyai tanggapan sebegini tidak mempunyai sahabat beragama Islam dan hanya mendapat informasi daripada televisyen dan juga media.

“Oleh sebab itu, kita harus dekati golongan ini, duduk bersama mereka dan terangkan apa itu Islam sebenarnya, kita sebagai Muslim memang sudah tahu mengenai agama kita ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Youseff yang turut mempunyai sekolah Al-Quran di Los Angeles (LA), turut menceritakan penerimaan masyarakat di sana mengenai agama Islam.

“Masyarakat di LA lebih terbuka mengenai agama kerana mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang, setakat ini penerimaan masih baik dan saya sendiri belum pernah berhadapan dengan apa-apa insiden.

“Sebab itulah saya menekankan agar orang bukan Islam dididik untuk lebih mempelajari mengenai Islam dan menjadi tanggungjawab kita untuk mengubah persepsi mereka mengenai Islam,” katanya.

Sinar Online

Comments