Home Tempatan Kenali tanda amaran rakan sekerja diresapi IS, kata polis

Kenali tanda amaran rakan sekerja diresapi IS, kata polis

SHARE

PETALING JAYA: Penyelia bertugas bertanggungjawab memantau kakitangan bawahan terutama yang berkhidmat dalam bidang keselamatan dengan mengenal pasti tanda amaran biasa yang menunjukkan individu menjadi radikal disebabkan kumpulan militan Islamic State (IS).

Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8), Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu Channel News Asia (CNA) adalah penting penyelia memberi perhatian kepada tanda awal radikal di kalangan kakitangan mereka.

“Penyelia cenderung melihat ini sebagai isu keselamatan yang akan dikendalikan polis, oleh itu pemantauan yang ada sekarang kurang,” kata Ayob.

Beliau berkata antara tanda seseorang individu itu mungkin radikal adalah sikap kebencian terbuka terhadap mereka yang tidak berkongsi pandangan yang sama atau kecenderungan mencabar mereka yang berkuasa.

Individu yang radikal juga cenderung menghabiskan masa yang lama berbual di platform media sosial seperti Facebook dan Telegram, Ayob memberitahu CNA, selain mempromosi keganasan serta memiliki simbol berkaitan IS seperti bendera kumpulan militan itu.

Ayob berkata ia perkara biasa bagi individu radikal mencairkan aset mereka untuk membiayai tambang ke Syria.

Ayob mengeluarkan kenyataan ini apabila ditanya mengenai penangkapan seorang pengawal keselamatan lapangan terbang bulan lepas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan IS, penahanan itu adalah yang ke-2 melibatkan kakitangan lapangan terbang dalam tempoh 2 tahun lalu.

Walaupun siasatan awal mendapati beliau tidak merancang serangan keganasan di negara ini, beliau merancang untuk pergi ke Syria menyertai IS.

CNA melaporkan Ayob berkata, pihak berkuasa Malaysia kini menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas pemohonan baru bagi memasuki perkhidmatan awam, tentera, pasukan polis dan juga syarikat penerbangan serta lapangan terbang.

“Selepas pemohon mendapat kerja, penyelia bertanggungjawab memantau mereka,” kata Ayob.

“Terdapat juga keperluan memantau pekerja senior. Apabila mereka menyertai tahun sebelumnya, IS tidak wujud,” Ayob memberitahu CNA.

Keperluan mengenal pasti mereka yang radikal oleh IS lebih mendesak apabila ia melibatkan kakitangan keselamatan lapangan terbang kerana mereka mempunyai akses penuh kepada pesawat.

Suspek baru-baru ini adalah pengawal keselamatan di sebuah lapangan terbang di Kuantan dan bertanggungjawab terhadap keselamatan pesawat.

“Ia merbahaya mempunyai seseorang cenderung kepada fahaman radikal yang mempunyai akses kepada keseluruhan lapangan terbang dan pesawat,” kata Ayob.

“Anda mesti ingat IS menyeru mereka yang tidak mampu pergi ke Syria, melancarkan serangan di negara asal mereka,” katanya kepada CNA.

Free Malaysia Today

Comments