Home Tempatan Kenal pasti punca sertai militan: Sultan Nazrin

Kenal pasti punca sertai militan: Sultan Nazrin

SHARE
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menerima titah ucapan daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-13,turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku ZarA Salim Di Bangunan Perak. - Foto Nstp/ABDULLAH YUSOF

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, punca rakyat terpengaruh dengan kegiatan militan harus dikenal pasti sebagai usaha menangani kegiatan keganasan dan pelampau.

Baginda bertitah, ketika ini ada rakyat yang terpengaruh dengan fahaman melampau hingga ke peringkat bersedia menyertai kumpulan militan, sanggup meninggalkan tanah air, dan ada yang terkorban di negara orang.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan beberapa tangkapan.  Namun tangkapan tidak menjamin masalah telah selesai, kalau punca masalah gagal difahami secara mendalam,” titah baginda merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-13 di sini, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, untuk membolehkan langkah menangani yang lebih komprehensif dapat difikirkan, amatlah penting diperhalusi faktor yang telah berupaya memesong pemikiran anak-anak muda, sehingga hilang pertimbangan rasional, lalu memilih menyertai kumpulan militan.

Baginda juga bertitah, ancaman terhadap ketenteraman awam dan keamanan negara berlaku dalam berbagai bentuk.

“Dalam negara yang memiliki warga terdiri daripada pelbagai latar belakang, ketenteraman awam dan keamanan negara boleh terjejas disebabkan faktor agama, kaum dan budaya.

“Isu agama, kaum dan budaya yang dieksploitasi bagi kepentingan politik kepartian jangka pendek, ibarat api yang membara di dalam sekam, berpotensi mencetus permusuhan dan meluap kemarahan di kalangan warga,” titah baginda.

Berita Harian

Comments