Home Tempatan Kemudahan makanan halal tingkat pelancong Malaysia ke Jepun

Kemudahan makanan halal tingkat pelancong Malaysia ke Jepun

SHARE
KUALA LUMPUR, 20 MAC 2017 - Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (tiga dari kiri) bersama Presiden Japan National Tourism Organization, Ryoichi Matsuyama (tengah) dan State Minister From the Ministry Of Land, Infrstructure, Transport and Tourism Japan, Tanaka Ryosei (tiga dari kanan) memotong reben sebagai simbolik perasmian sewaktu Majlis Pembukaan Pejabat Japan National Tourism Organization (JNTO) Kuala Lumpur di Hotel Sheraton Imperial, di sini, hari ini. Turut bersama Pengarah Besar Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohd Taiyub (dua dari kiri), Duta Jepun Di Malaysia, Dr. Makio Miyagawa (dua dari kanan) dan Ketua Japan National Tourism Organization di Kuala Lumpur, Chieko Maruyama (kanan).Gambar : Aizzul A.Majid / Pem : Sajida (AM) / Julia (AMKOSMO)

KUALA LUMPUR 20 Mac – Jepun dijangka terus menjadi pilihan utama pelawat Malaysia pada masa depan berikutan negara itu dianggap semakin mesra kepada pelancong beragama Islam terutama dari aspek makanan halal yang kini lebih mudah diperoleh.

Presiden Pertubuhan Pelancongan Nasional Jepun (JNTO), Ryoichi Matsuyama berkata, pada tahun lalu sahaja seramai 394,200 pelancong Malaysia ke Jepun dan jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 29.1 peratus berbanding 2015.

Katanya, malah sebahagian besar daripada jumlah tersebut adalah pelancong beragama Islam dan Jepun menjadi pilihan kerana bukan sahaja harga tiket penerbangan yang semakin murah tetapi kerana pelbagai kemudahan untuk pelawat beragama Islam.

“Malaysia dan Jepun juga mempunyai hubungan yang baik, malah rakyat Malaysia menyukai makanan dan budaya masyarakat Jepun. Lihat sahaja susyi yang sangat popular di sini sehinggakan ramai pengusaha makanan menjualnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pejabat JNTO Malaysia di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pelancongan Jepun, Tanaka Ryosei, Duta Jepun ke Malaysia; Dr. Makio Miyagawa serta Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Hamzah Rahmat.

Jelas Ryoichi, pembukaan pejabat JNTO di sini membuktikan agensi pelancongan Jepun yakin dengan sambutan pelancong Malaysia malah jumlah pengusaha makanan halal di Jepun terus meningkat seiring dengan pertambahan pelancong Islam.

“Apabila jumlah pelancong beragama Islam meningkat maka ini akan memberi peluang kepada pengusaha makanan halal untuk meraih pendapatan tambahan. Selain makanan, pelancong berpeluang mengunjungi pelbagai destinasi menarik di negara tersebut.

“Bagi mempromosikan Jepun, JNTO menyertai pameran pelancongan antaranya mengikuti siri jelajah Pameran MATTA dan Karnival Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITM),” katanya. – UTUSAN ONLINE

utusan online

 

Comments