Home Tempatan Kempen solat Subuh berjemaah akan diperluas ke seluruh Terengganu

Kempen solat Subuh berjemaah akan diperluas ke seluruh Terengganu

SHARE

HULU TERENGGANU, 25 Rejab 1438H, Sabtu – Kerajaan Terengganu optimis melaksanakan Kempen Solat Subuh dan Solat Dhuha Perdana secara berjemaah di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata kempen ini merupakan cetusan idea kerajaan negeri dan mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Kempen ini akan dimulakan di daerah Hulu Terengganu di sini dan bakal diteruskan setiap minggu ke semua daerah di seluruh negeri.

“Solat berjemaah antara indikator utama dalam mengukuhkan perpaduan dan ukhwah Islamiyah umat islam di negeri ini. Secara tidak langsung kita dapat bersua muka walaupun sebentar sebelum memulakan tugasan harian,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program tersebut di sini, hari ini.

Terdahulu, solat berjemaah tersebut yang dipimpin Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr Mohd Zulkifli Muda disertai 500 jemaah di Masjid Hadhari Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Tok Randok, Hulu Terengganu.

Seorang jemaah, Makmun Abdullah Amin, 41, berkata ia kempen yang sangat baik dan harus dipraktik oleh semua pihak.

“Sebelum memulakan hari, eloknya adalah solat berjemaah begini…kadangkala kita tidak sempat berjumpa jiran tetangga akibat kekangan kerja dan dengan kempen begini secara tidak langsung kita boleh bertanya khabar sebentar sebelum memulakan hari baru.

“Apa yang bagus, selesai solat, diadakan pula kuliah subuh yang mana ia bukan memfokuskan tentang rohani sahaja tetapi juga turut dimuatkan mengenai kehidupan seharian,” katanya. – Bernama

Comments