Home Tempatan Kementerian Pendidikan kenal pasti empat faktor sebab masalah disiplin pelajar

Kementerian Pendidikan kenal pasti empat faktor sebab masalah disiplin pelajar

SHARE

PADANG TERAP 18 Ogos – Empat faktor utama dikenal pasti pihak Kementerian Pendidikan iaitu pemakanan, persekitaran, teknologi dan kemasyarakatan yang menjadi penyebab kepada tindakan luar kawalan pelajar sekolah hingga tercetus kes buli dan memukul guru.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, empat faktor tersebut adalah penyebab utama tindak tanduk pelajar kini semakin melampaui batas sehingga berlaku pelbagai kes buli dan pukul guru.

“Mungkin kerana faktor makanan diambil para pelajar, penyalahgunaan teknologi, persekitaran dan kemasyarakatan menjadi punca mereka bersikap sedemikian sehingga ada yang tergamak memukul guru sendiri.

“Dalam kes pukul guru ini, jelas pelajar itu melanggar etika sekolah kerana pokoknya tak kan pelajar boleh pukul cikgu dan itu satu tindakan salah dan tindakan pelajar tak boleh pelajar sampai ke tahap itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap, di Dewan Kolej MARA Kuala Nerang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kes dilaporkan satu akhbar tempatan mengenai seorang pelajar tingkatan dua yang didakwa memukul guru selepas menegurnya kerana menggunakan perkataan kesat dalam kelas di sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini.

Mahdzir berkata, beliau belum menerima laporan penuh punca kejadian itu terjadi sama ada ia dimulakan pelajar itu atau guru terbabit dalam kes tersebut. – UTUSAN ONLINE

UTUSAN ONLINE

 

Comments