Home Tempatan Kemalangan berbasikal: Jangan jadikan isu perkauman

Kemalangan berbasikal: Jangan jadikan isu perkauman

SHARE

JOHOR BAHRU – Masyarakat diminta supaya tidak menjadikan kemalangan melibatkan lapan remaja berbasikal yang maut dengan sebuah kereta baru-baru ini sebagai isu perkauman.

Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kayat berkata, mengaitkan tragedi itu dengan pertembungan Cina-Melayu adalah tindakan yg salah dan tidak selari dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya supaya saling kenal mengenal antara satu sama lain.

“Tragedi melibat kematian lapan remaja telah dijadikan isu perkauman oleh pihak tertentu. Mereka marah pemandu kereta berbangsa cina berusia 22 tahun yang telah melanggarkan remaja tersebut.

“Apakah isu sebenar? Apakah Cina yang salah? Apakah Melayu yang salah? Apakah apabila Melayu dan Cina bergaduh maka masalah akan selesai?” soalnya menerusi perkongsiannya di Facebook, hari ini.

Katanya lagi, daripada sibuk menuding jari, masyarakat sepatutnya berbincang untuk mencari penyelesaian untuk berdepan dengan isu berkenaan.

“Kita kaji punca masalah sebenar. Jika remaja bersalah maka bantulah mereka. Jika pemandu bersalah hukumlah. Jika ibubapa bersalah tegurlah mereka.

“Jika penguatkuasa lemah maka betulkan mereka. Jika undang-undang lemah maka gubalah undang-undang yang bersesuaian. Jika pemimpin lemah maka tukarlah dalam PRU akan datang,” katanya lagi.

Lapan remaja maut dipercayai dirempuh kereta jenis Nissan Almera di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, di sini, 18 Februari lalu.

Dalam kejadian 3.00 pagi itu turut menyebabkan dua lagi remaja kritikal dan enam mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kesemua mangsa berusia 13 hingga 17 tahun.

Sinar Online

Comments