Home Santai@menara Kem Pelaur Yang Mempunyai Keunikan Seperti Berada Di Alam Fantasi – Gunung...

Kem Pelaur Yang Mempunyai Keunikan Seperti Berada Di Alam Fantasi – Gunung Yong Belar

SHARE

Gunung Yong Belar merupakan penghubung antara 3 sempadan negeri iaitu Perak, Pahang, dan Kelantan. Ketinggian gunung ini adalah 2,181 meter dari aras laut dan tersenarai sebagai gunung G7 atau dengan kata mudahnya 7 gunung yang tertinggi di Semenanjung Malaysia. Ekspedisi menawan Gunung Yong Belar kali ini dianjurkan oleh kumpulan dari “Agile Adventure” dengan kerjasama kumpulan “Redants Hikers” yang terdiri daripada 37 orang pendaki termasuk krew yang berlangsung selama 2 hari 1 malam.

HARI PERTAMA (5 OGOS 2017)

Masjid Keputeraan Lojing, Kelantan adalah tempat pertama kami, para pendaki yang datang dari pelbagai negeri berkumpul. Pendakian akan bermula pada jam 7.30 pagi namun, terdapat juga para pendaki yang sudah tiba seawal 1.00 pagi di masjid tersebut. Bagi para pendaki yang tiba lebih awal, mereka mengambil kesempatan untuk berehat dahulu dan melelapkan mata sambil menunggu subuh tiba.

Usai mengerjakan solat Subuh, kami bersiap-siap berkumpul di bawah pondok berdekatan masjid untuk pembahagian makanan basah dan kering untuk bekalan makanan ketika berkhemah nanti.

Ekspedisi selama 2 hari 1 malam kali ini diketuai oleh Zaid, salah seorang ahli kumpulan “Redants Hikers”. Tepat jam 8.00 pagi, kami mula menaiki pacuan 4 roda untuk ke check-point yang pertama, Kebun Sayur. Perjalanan menuju ke Kebun Sayur mengambil masa lebih kurang 1 jam perjalanan. Bagi mereka yang pertama kali menaiki pacuan 4 roda, ini adalah kenangan yang tidak dapat dilupakan. Kami bagai dilambung-lambung kerana keadaan jalan yang tidak rata dan agak berliku-liku yang membuatkan kami diri kami ceria sewaktu perjalanan untuk sampai ke Kebun Sayur.

Setibanya di Kebun Sayur, kami amatlah teruja kerana dapat melihat pelbagai jenis sayur-sayuran yang ditanam di situ. Maklumlah, selalu tengok sayur di pasar-pasar sahaja. Kali ini dapat melihat dengan mata kepala sendiri pelbagai pokok sayur-sayuran yang ditanam segar dan subur kerana iklim yang agak sejuk.

Baiklah, berbalik kepada cerita pendakian. Tepat jam 9.00 pagi kami sudah bersiap sedia untuk mendaki menuju ke Kem Pelaur, tempat perkhemahan kami, sebelum mendaki ke Puncak Gunung Yong Belar keesokan paginya. Alhamdulillah, cuaca pada hari tersebut sangatlah baik dan tidak hujan. Jika hujan, terpaksalah bergelut dengan lumpur dan selut sehingga paras lutut. Perjalanan pendakian kami berjalan dengan lancar walaupun terpaksa mendaki laluan yang agak pacak, menaik dan menurun dengan memikul beban beg di bahu lebih kurang seberat 5kg. Akan tetapi ini bukan penghalang untuk kami terus mendaki, dan terus bersemangat sambil menikmati keindahan alam yang menenangkan.

Sesudah pendakian selama 3 jam perjalanan, tibalah kami di Kem Tudung Periuk tepat jam 12 tengah hari. Kami berehat sebentar di Kem Tudung Periuk sebelum meneruskan perjalanan yang seterusnya. Sewaktu berehat, kami sempat mengeratkan silaturahim dengan berkenalan sesama pendaki yang baru pertama kali berjumpa. Kebahagiaan mendaki ini adalah di mana kita dapat berkenalan dengan pendaki-pendaki yang datang dari latar belakang yang berbeza dan menganggap mereka sebagai keluarga.

Lebih kurang 30 minit berehat di Kem Tudung Periuk, kami mula bersiap-siap untuk meneruskan perjalanan ke Kem Pelaur yang hanya 1 jam perjalanan mendaki sahaja untuk sampai di tapak perkhemahan. Seperti biasa, untuk sampai kami akan melalui laluan yang agak pacak, menaik dan menurun. Walaupun terasa kepenatan dan tenaga semakin berkurangan, kami tetap menggagahkan kaki melangkah untuk terus sampai ke Kem Pelaur walaupun mental kami sedikit diuji. Sebenarnya, aktiviti mendaki ini adalah bagus untuk mengajar kita erti sabar, semangat setia kawan dan saling bantu-membantu antara satu sama lain di samping mengeratkan silaturahim dan menyihatkan tubuh badan.

Tepat jam 2.30 petang, kami tiba di tapak perkhemahan iaitu Kem Pelaur. Sungguh indah air terjun Pelaur ini kerana air terjunnya tersangatlah cantik dan mempunyai keunikan yang tersendiri. Kepenatan yang ditanggung sebentar tadi hilang serta-merta apabila melihat dan mendengar bunyi deruan air terjun yang menghempas batu-batuan yang terdapat di situ. Kepuasan untuk kami para pendaki adalah, di mana kami dapat menikmati keindahan ciptaan Allah yang sungguh menakjubkan ini. Untuk pengetahuan, Kem Pelaur ini jarang dikunjungi membuatkan panoramanya masih terpelihara dan kami terasa amat bertuah dan teruja kerana dapat merasa seperti di alam fantasi yang penuh dengan ketenangan dan kedamaian sambil menikmati lukisan alam yang terbentang luas ini, Subhanallah!

Kami beruntung kerana sampai di tapak perkhemahan, krew sudahpun siap memasang ‘fly’ dan ‘ground’ (khemah) dan kami hanya meletak dan menyusun beg yang dipikul tadi. Sempatlah melelapkan mata seketika, sebelum menunaikan solat, makan dan pengurusan diri. Aktiviti waktu malam adalah bebas kerana kami diminta tidur awal kerana perjalanan mendaki menuju ke puncak Gunung Yong Belar akan bermula seawal jam 3 pagi.

HARI KEDUA (6 OGOS 2017)

Tepat jam 2.30 pagi, kami dikejutkan bangun daripada tidur oleh krew dan bersiap-siap untuk meneruskan pendakian ke Puncak Gunung Yong Belar yang mengambil masa 4 jam. Bayangkan dengan mata yang agak mengantuk, kami terus menggagahkan diri mengikut arahan yang diberi sepanjang perjalanan menuju ke puncak supaya jangka masa untuk sampai ke sana tidak lebih dari waktu yang ditetapkan oleh krew. Kami bersiap dengan memastikan lampu, baju sejuk, sarung tangan dan air yang secukupnya dibawa sekali. Kami juga dibekalkan nasi goreng yang sangat sedap untuk bekalan makanan di atas puncak nanti.

Tepat jam 3 pagi kami berkumpul di tepi air terjun Pelaur dan bersedia untuk meredah hutan tebal dalam keadaan yang gelap gelita dan hanya berbekalkan cahaya bulan dan lampu di kepala sahaja. Pendakian agak mencabar kerana mendaki laluan yang menaik dan menurun. Walaupun tidak nampak laluan yang agak samar dan berkabus, tetapi terasa juga kepenatan dengan suhu yang agak sejuk sehingga terasa ke tulang sum-sum. Ada para pendaki yang beberapa kali terhantuk pada dahan-dahan pokok dalam keadaan gelap dan tanpa kami sedar kerana keadaan yang agak gelap. Bayangkan, ada juga antara kami yang terpegang duri-duri yang ada di kanan dan kiri laluan pendakian. Pendakian harus dilalui dengan berhati-hati supaya tidak mencederakan diri sendiri.

Tersangat indah dan menenangkan jiwa mendengar siul-siulan unggas-unggas di hutan bersahut-sahutan. Mereka adalah makhluk yang sedang berzikir termasuklah tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sekeliling hutan. Kami para pendaki juga berzikir memuji Allah agar tidak terasa kepenatan fizikal dan mental. Dengan berzikir memuji Allah yang Maha Agung, Insya-Allah pasti dapat menenangkan jiwa, menambahkan pahala dan mengurangkan fokus kepada kepenatan.

Tepat jam 6.15 pagi, kami tiba di Kem Kasut. Di sini, kami menunaikan solat fardhu Subuh dahulu sebelum meneruskan pendakian. Usai sahaja mengerjakan solat, lebih kurang 6.30 pagi kami bergerak dan memulakan semula pendakian menuju ke puncak Gunung Yong Belar yang hanya berbaki 1 jam pendakian sahaja untuk sampai. Perjalanan pendakian agak pacak tetapi waktu ini matahari sudah menampakkan cahayanya. Maka kami sudah boleh menutup lampu di kepala dan laluan yang dilalui boleh dilihat dengan lebih jelas dan suhu semakin sejuk menandakan kami semakin sampai ke puncak yang hendak dituju. Sungguh indah panorama alam. Laluan yang berlumut amat cantik menghijau dan amat menenangkan.

Jarum jam di tangan menunjukkan tepat 7.30 pagi. Maka sampailah kami di puncak Gunung Yong Belar walaupun awan karpet yang dicari tidak kunjung tiba. Hanya kabus tebal sahaja yang menghampiri. Bukan bermakna kami kecewa, tetapi panorama alam yang terbentang luas yang membuatkan hati kami terubat. Kami bersyukur kerana perjalanan pendakian kami dipermudahkan dan seramai 37 orang pendaki berjaya menawan puncak Gunung Yong Belar dengan jayanya.

Kami menghabiskan masa di atas puncak lebih kurang 1 jam setengah dengan makan dan mengambil gambar. Tepat jam 9.00 pagi, kami mula bergerak turun ke Kem Pelaur, tempat tapak perkhemahan. Sewaktu turun baru dapat melihat dengan lebih jelas laluan yang kami lalui seawal pagi tadi. Agak mencabar juga laluannya, patutlah terasa kepenatan agak melampau. Setibanya di Kem Kasut, jarum jam di tangan menunjukkan pukul 9.45 pagi. Kami berehat sebentar. Jam 10.00 pagi, kami meneruskan perjalanan turun semula. Tepat jam 1.00 petang, setibanya di Kem Pelaur, kami berehat, makan, mandi, solat, dan bersiap-siap mengemaskan barang-barang dan membersihkan kawasan perkhemahan kerana pada pukul 3 petang kami akan turun semula ke Kebun Sayur.

Tepat jam 6.20 petang sampailah kami di Kebun Sayur, tempat permulaan pendakian. Lebih kurang sejam menunggu di Kebun Sayur, kereta pacuan 4 roda mula menghampiri dan menghantar kami pulang ke kawasan parking kereta di kawasan Loging. Ekspedisi ini sangat menyeronokkan. Jadi, kepada mereka yang belum lagi ke Gunung Yong Belar, bolehlah pergi sendiri merasai pengalaman ini. Sekian.

*Penulisan ini telah disumbangkan oleh Nor Hafizah Che Din.

Comments