Home Tempatan Keluar fatwa dakwa bomoh syirik, sihir: Zainul Rijal

Keluar fatwa dakwa bomoh syirik, sihir: Zainul Rijal

SHARE

BANGI, 4 Rejab 1438H, Sabtu – Malaysia dinobatkan sebagai negara Islam contoh di kalangan negara Islam dan negara lain di dunia, namun amalan khurafat, seperti pembomohan syirik, sihir dan santau telah memalukan negara ini.

Sehubungan itu, sudah tiba masanya pihak berkuasa agama Islam mengambil inisiatif tegas membanteras amalan perbomohan yang tidak berlandaskan hukum syarak ini, kerana bukan sahaja menjejaskan akidah umat Islam, tetapi juga kadang kala ada unsur penipuan.

Serentak itu, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menggesa suatu fatwa dikeluarkan bagi mengisytiharkan amalan tertentu itu terpesong daripada ajaran Islam dan tidak boleh diamalkan.

Katanya, fatwa itu perlu diwartakan bagi membolehkan pihak berkuasa agama mengambil tindakan sewajarnya dengan mendakwa mereka yang masih melanggar fatwa di Mahkamah Syariah.

“Dari sudut prasarana undang-undang, khususnya undang-undang syariah kita masih jauh lagi daripada melengkapkan peruntukan undang-undang yang melibatkan perkara-perkara ghaib seperti sihir santau dan sebagainya.

“Terdapat pelbagai isu perundangan yang perlu dikaji secara mendalam bagi ‘menjenayahkan’ amalan-amalan syirik ini,” katanya menulis dalam Sinar Harian.

Zainul Rijal berkata, amat menyedihkan apabila dalam banyak perkara masyarakat Melayu masih meletakkan perbomohan syirik sebagai alternatif kepada penyelesaian masalah mereka.

Comments