Home Tempatan Kelantan nak demo sebat patuh syarak

Kelantan nak demo sebat patuh syarak

SHARE

Kerajaan Kelantan sedang menjalankan kajian untuk melaksanakan contoh sebatan di depan khalayak ramai mengikut peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali sebagai Akta 355.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata pelaksanaan itu dibuat bagi memberi pemahaman kepada masyarakat bagaimana hukuman itu dilaksanakan.

“Kita sedang kaji nak buat satu (pertunjukan contoh) bagaimana  dalam Islam supaya memberi pemahaman dan persepsi yang betul kepada masyarakat tentang kahukuman sebatedah hukuman dalam Islam.demonstrasi

“Ia adalah hukuman mendidik, mengandungi rahmat, bukan untuk menyakitkan, bukan untuk menghukum kerana ada yang silap faham,” katanya ketika ditemui pemberita selepas forum Pascahimpunan 355 di Bazar Harakah di Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya terdapat pihak yang mendakwa hukuman dicadangkan melalui pindaan Akta 355 itu itu seolah-olah hanya mahu menumpukan aspek penderaan semata-mata.

“Mereka (pengkritik) kata apa yang dilakukan kerajaan Kelantan hanya nak tumpukan hukuman, seolah-olah Islam hanya nak menghukum,” katanya.

Sementara itu, ketika sesi forum berlangsung, Fadzli membidas sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan Kelantan seolah tergesa-gesa melaksanakan hukuman berkenaan.

Lebih 90 peratus setuju

Sebaliknya, kata Fadzli, sejak PAS memerintah Kelantan 23 tahun lalu, mereka menggunakan tempoh itu untuk memberi kefahaman kepada rakyat bagi menjalankan hukuman jenayah syariah dan hanya kini ia mahu dilaksanakan.

“Dalam tempoh 23 tahun kita hanya perkenalkan (hukuman jenayah syariah) tetapi tak melaksanakan sebab hormat undang-undang.

“Pada masa sama (kerajaan Kelantan) menunjukkan sikap terbuka, kami menghormati suasana semasa dan mengambil sikap menjelaskan (ia) kepada masyarakat,” katanya.

Keadaan itu, kata Fadzli yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS, cukup memberi gambaran bahawa kerajaan Kelantan memahami realiti semasa dan mereka tidak tergesa-gesa.

“Hasil kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Strategik Kelantan menunjukkan, lebih 90 peratus rakyat Kelantan setuju untuk melihat undang-undang jenayah syariah ini dilaksanakan di Kelantan.

“Sehingga kini kerajaan PAS Kelantan mendapat mandat dalam beberapa kali pilihan raya. Lima kali kita mendapat mandat untuk memerintah Kelantan, dengan pakej melaksanakan hukum jenayah syariah,” katanya.

Forum itu turut disertai oleh Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang, manakala Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yussof menjadi moderator.

Sementara itu, Musa pula berkata hampir keseluruhan peguam syarie di negara ini bersetuju dengan pindaan tersebut.

Namun, katanya, segelintir kecil yang tidak bersetuju dengan pindaan tersebut mungkin bimbang ada perkara berbangkit selepas ini serta mungkin juga mereka terikut-ikut dengan fahaman politik yang disertai.

“Boleh dikatakan (hampir) 100 peratus peguam Syarie yang bersetuju supaya Akta 355 dipinda sebagaimana yang diusulkan.

“Walaupun ada segelintir yang menyuarakan (bantahan), mereka bukan tidak bersetuju untuk dipinda.

“Asasnya mereka bersetuju Akta 355 itu dipinda, cuma mungkin ada yang bersuara itu tidak bersetuju dengan kadar hukuman atau perkara lain yang berbangkit.

“(Ada juga) segelintir yang tidak bersetuju itu juga mungkin berdasarkan fahaman politiknya, jadi mereka agak terikut-ikut dengan parti yang diwakilinya,” katanya.

Comments