Home Tempatan Kelantan lulus pindaan enakmen syariah

Kelantan lulus pindaan enakmen syariah

SHARE
EXCO Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan enakmen pindaan yang antara lain membolehkan pesalah syariah disebat di khalayak ramai selain meningkatkan denda dan tempoh penjara.

Pindaan yang diluluskan ialah Rang Undang-Undang Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017). Selain itu, pindaan enakmen itu juga membabitkan penambahan hukuman denda daripada RM1,000 kepada RM2,000 atau RM3,000 dan penjara hingga lima tahun.

Bagaimanapun, enakmen membabitkan 33 pindaan itu masih terikat dengan pelaksanaan dan kelulusan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang kini masih belum selesai di Parlimen.

Pindaan enakmen berkenaan dicadangkan oleh EXCO Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan disokong oleh EXCO Pembangunan Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat, Mumtaz Md Nawi.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub mengumumkan DUN meluluskan pindaan enakmen itu selepas ia mendapat sokongan sebulat suara.

Mohd Nassuruddin berkata, tiga faktor utama pindaan itu dilakukan, antaranya undang-undang itu sudah berusia 15 tahun selain perkembangan semasa yang cepat untuk menangani isu perundangan.

Selain itu, katanya, pindaan juga perlu dilakukan bagi membantu hakim syariah, pendakwa syarie, peguam syariah dan penguat kuasa agama dalam menjalankan prosedur kes jenayah syariah supaya lebih teratur serta seragam.

“Antara pindaan yang membolehkan seseorang dihukum sebat di khalayak, penguat kuasa agama boleh guna gari dan video sebagai bahan bukti dalam perbicaraan,” katanya dalam persidangan DUN di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata pindaan enakmen berkenaan adalah sebagai persiapan awal untuk pelaksanaan Akta 355 sekiranya pindaannya lulus di Parlimen.

“Hukuman sebat juga boleh dijalankan di khalayak ramai berbanding sebelum ini dilakukan di penjara, namun ia masih terserah kepada keputusan mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas persidangan DUN.

Pindaan terhadap Akta 355 itu dicadangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi usul persendirian.

Berita Harian

 

Comments