Home Tempatan Kelab Tolak Penganjuran Semua Acara Keagamaan – Kelab Golf Diraja Selangor

Kelab Tolak Penganjuran Semua Acara Keagamaan – Kelab Golf Diraja Selangor

SHARE

Kuala Lumpur: Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) sekarang ini menolak sebarang penganjuran program yang berunsur keagamaan buat masa ini, menurut kenyataan yang dibuat oleh Pengurus Operasi dan Perkhidmatan RSGC, Eric Ilyas Lim.

“Kelab mengambil keputusan menolak semua acara agama buat masa ini.”

Menurut Free Malaysia Today, Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) di Kuala Lumpur mengesahkan yang mereka terpaksa mengambil keputusan menolak sebuah forum mengenai Islam yang mengundang sarjana luar Dr Nader Hashemi dan dianjurkan oleh Islam Renaissance Front (IRF), kerana tidak mahu terlibat dalam sebarang masalah dengan pihak berkuasa agama.

RSGC merupakan antara kelab elit tertua terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, dan sebelum ini telah menjadi lokasi bagi beberapa acara anjuran IRF dan G25. Di kelab tersebut juga penulis Turki, Mustafa Akyol didekati oleh beberapa penguat kuasa agama kerana telah berceramah mengenai Islam tanpa sebarang tauliah daripada pihak berkuasa agama tempatan.

Sebelum ini, pihak JAWI telah mengeluarkan kenyataan bahawa mana-mana penceramah yang mahu berceramah tentang agama Islam perlu mendapat tauliah terlebih dahulu daripada pihak berkuasa agama sebelum berbuat demikian.

Kenyataan ini disokong oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Jamil Khir Baharom. Menurut beliau, “Tindakan Jabatan Agama Islam negeri mewajibkan penceramah mendapatkan tauliah terlebih dahulu adalah bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan selain menjaga hal-hal berkaitan sensitiviti masyarakat.”

Dalam pada itu, Pengerusi IRF, Farouk Musa juga bakal dihadapkan ke mahkamah pada 4hb Disember kelak atas tuduhan bersubahat dengan Mustafa Akyol dengan memberi forum agama tanpa tauliah.

Comments