Home Tempatan Kekang pengaruh militan habis-habisan

Kekang pengaruh militan habis-habisan

SHARE

LAHAD DATU 29 April – Usaha kumpulan militan Daesh mengintai lokasi baharu wilayah Islam di kawasan perairan Laut Sulu perlu dikekang secara habis-habisan agar fahaman ekstremis itu tidak berkembang ke rantau ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ancaman itu merupakan cabaran baharu buatnya dan rakan sejawatan dari Filipina serta Indonesia bagi memastikan kumpulan militan Daesh gagal me­nubuhkan wilayah baharu.

Beliau yang juga Menteri De­ngan Tugas-Tugas Khas mene­gaskan, kelewatan untuk mengekang fahaman militan itu akan memberikan kesan buruk kepada komuniti di rantau ini terutamanya di Laut Sulu.

“Ancaman besar yang kita hadapi sekarang ialah kumpulan militan Daesh. Dengan kejatuhan kumpulan ini di Syria dan Iraq mereka pastinya mengintai untuk mewujudkan wilayah baharu terutamanya di rantau ini.

“Kalau ini (wujud wilayah) sudah berlaku dan mereka bertapak, ia sudah terlewat untuk mengekangnya. Bagaimanapun, buat masa sekarang kita tidak lihat (perkara ini) berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja pertama selaku Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas ke Ibu pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Komander Esscom, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid serta Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Datuk Mohamad Yusof Apdal.

Dalam pada itu, Hishammuddin melahirkan rasa gembira dengan kepimpinan Presiden Fili­pina, Rodrigo Duterte menerusi kesungguhan memberi fokus kepada keadaan politik serta kese­lamatan di selatan Filipina.

Malah kata beliau, kesungguhan Duterte itu turut dizahirkan melalui kerjasama erat antara Malaysia dan republik berkenaan.

Ditanya mengenai langkah yang akan diambil bagi memantapkan Esscom selepas lawatan sulung beliau, Hishammuddin berkata, beliau bercadang memperluaskan kerjasama tiga hala antara agensi-agensi keselamatan di Esscom dengan agensi di Fili­pina dan Indonesia dalam memperkukuhkan keselamatan di per­airan Laut Sulu.

Ujarnya, cadangan itu diambil kira selepas melihat kejayaan kerjasama antara pasukan ketenteraan Malaysia, Filipina dan Indonesia menerusi insiatif rondaan bersama dalam trilateral ketiga-tiga negara.

“Tiada sebab kita tidak boleh memperluaskan jalinan kerjasama kepada agensi-agensi lain dalam Esscom seperti mana yang dilakukan Kementerian Pertahanan melalui trilateral dengan rakan di Filipina dan Indonesia.

UTUSAN ONLINE

Comments