Home Antarabangsa Keganasan bukan jalan penyelesaian

Keganasan bukan jalan penyelesaian

SHARE

PATTANI, Thailand 26 Jan. – Semua pihak mempunyai pe­ranan bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan golongan muda serta anggota ma­syarakat bahawa gejala ekstre­misme atau keganasan bukan jalan penyelesaian untuk menangani ketidakadilan dan penderitaan.

Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Ya­yasan Gerakan Kesederhanaan Glo­bal (GMMF), Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa berkata, usaha sebaliknya perlu ditumpukan ke arah menggerakkan ejen-ejen perubahan yang efektif termasuk pendidikan, diplomasi dan tekanan politik yang strategik.

Katanya, pelbagai dilema yang dihadapi oleh dunia ketika ini perlu ditangani secara intelektual serta menggunakan ilmu sewajarnya agar ia dapat mewujudkan budaya kesederhanaan berteraskan toleransi dan pendidikan demi generasi akan datang.

“Terdapat puak ektremis da­lam setiap kumpulan masyarakat. Masyarakat Buddha akan mengatakan bahawa tindakan penganut agama itu di Myanmar bukan satu cerminan yang adil bagi mereka, atau tindakan-tindakan ekstrem de­ngan nama agama Kristian tidak menggambarkan agama ter­sebut, begitu juga dengan umat Islam.

“Agenda menentang kecen­derungan ektremisme keganasan adalah satu usaha yang berterusan dan bersifat global yang mana kita perlu mewujudkan kesedaran dalam kalangan golongan muda serta orang ramai bahawa ekstremisme atau keganasan bukanlah satu jalan penyelesaian bagi menangani ketidakadilan dan penderitaan kerana ia bertentangan dengan prinsip asas setiap agama di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pa­da Seminar Kesederhanaan di Wilayah-wilayah Berbilang Kaum Sempadan Selatan Thailand yang dianjurkan oleh Kementerian Luar Thailand dengan kerjasama Centre for Muslim World Policies of Chulalongkorn University dan Institut Wasatiyah untuk Ke­amanan dan Kemajuan Pejabat Sheikhul Islam Thailand di sini hari ini.

Penganjuran seminar tersebut adalah susulan daripada pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya dari Thailand, Prayut Chan-o-cha ketika Rundingan Tahunan Ke-6 antara kedua-dua negara September lalu di Bangkok yang mana kedua-dua pihak bersetuju mempertingkatkan per­tukaran pengalaman dalam perkara melibatkan kesederhanaan serta cabaran-cabaran ber­kaitan ekstremisme yang dihadapi ASEAN. – UTUSAN

utusan online

Comments