Home Tempatan Kegagalan BN bentang pindaan Akta 355 serlah kebijakan PAS

Kegagalan BN bentang pindaan Akta 355 serlah kebijakan PAS

SHARE

BANGI, 2 Rejab 1438H, Khamis – Kegagalan Barisan Nasional (BN) untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 sebenarnya telah meneguhkan lagi kebenaran, kewajaran dan kebijakan PAS membawanya sendiri, kata Ketua Pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.

Tidak goyah dengan tindakan parti pemerintah itu, beliau berkata, ia sekadar kembali kepada keadaan sediakala dan persediaan asal PAS.

“Sebagaimana pernah disebut dan diakui sendiri oleh seorang YB UMNO di DUN Kelantan sebelum ini, hanya PAS yang mampu dan bersedia.

“UMNO masih belum mampu. Hanya yang mampu dan diharapkan daripada UMNO adalah sokongan demi memartabatkan Islam dan syariatnya. Ia kewajiban bersama,” kata Nik Abduh dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesediaan kerajaan BN sebelum ini untuk membawa sendiri RUU 355 adalah langkah parti itu dan tiada kaitan dengan PAS.

“PAS mengalu-alukannya kerana ia akan lebih memudahkan usaha murni ini. Islam menyuruh kita memilih jalan yang lebih mudah jika ada. Yang terlarang ialah berhenti kerana tiada jalan mudah. PAS takkan sesekali berhenti di tempat terlarang.

“Mari mendoakan semoga Allah menyatukan hati Ahli-Ahli Parlimen khususnya yang beragama Islam, lebih-lebih lagi Tan Sri Speaker untuk teguh istiqamah membenarkan pembentangan RUU persendirian ini oleh YB Tuan Guru presiden PAS,” katanya.

Keputusan BN untuk tidak membentangkan RUU 355 diputuskan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn di sini, malam tadi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, dilaporkan berkata, keputusan itu adalah selaras dengan amalan BN yang membuat keputusan berdasarkan konsensus bersama parti komponen.

 

Comments