Home Pendapat Kedudukan Malaysia Dalam Komanwel

Kedudukan Malaysia Dalam Komanwel

SHARE

Pertubuhan Komanwel merupakan satu pertubuhan yang dianggotai oleh negara-negara berdaulat dan merdeka yang pada masa dahulu pernah ditakluk British kecuali, Mozambique dan Rwanda. Ditubuhkan pada tahun 1931, pertubuhan Komanwel atau kerap disebut sebagai Komanwel diinspirasikan oleh Lord Rosebury. Setakat ini, terdapat 53 buah negara yang bernaung dibawah Komanwel, termasuklah Malaysia.

Komanwel diasaskan dengan tujuan untuk mewujudkan kerjasama dan memberi bantuan dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan, pertahanan, pertanian, perpaduan dan perundangan antara negara-negara Komanwel.[1]

Melalui Komanwel, Malaysia yang menyertai pertubuhan ini pada tahun 1957 dapat terlibat secara langsung dalam arena politik antarabangsa. Malaysia dan sebilangan besar ahli Komanwel bersatu bagi menggerakkan pertubuhan ini menjadi satu pertubuhan yang bebas, memperjuangkan hak-hak asasi manusia, mempromosikan demokrasi dan Perdagangan Bebas.[2]

Antara faedah yang Malaysia peroleh selepas menganggotai Komanwel adalah mendapat bantuan pertahanan daripada negara-negara Komanwel dalam menyekat serangan Parti Komunis Malaya, perjanjian bantuan pertahanan dengan Britain, Australia dan New Zealand, dan eksport barangan Malaysia ke negara-negara anggota dikenakan cukai yang rendah.[3]

Selain itu, Malaysia juga menandatangani Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FDPA) yang melibatkan persetujuan berbilang hala antara Britain, Australia, New Zealand, Malaysia dan Singapura. Melalui FDPA, Britain bersetuju untuk membantu mempertahankan Malaysia jika negara ini diserang oleh kuasa luar.[4]

Malah, Britain banyak menanam modal di Malaysia dalam sektor ekonomi perlombongan dan perladangan.

Namun, adat dunia, setiap sesuatu akan ada pasangannya. Setiap kelebihan ada kekurangannya. Walaupun Malaysia mendapat banyak kebaikan melalui Komanwel, ada juga sesetengah perkara yang merugikan Malaysia. Telah timbul banyak suara yang mempertikaikan keahlian serta keberkesanan fungsi Komanwel dalam menjaga ahli-ahlinya.

Sebagai contoh, hak istimewa sektor eksport antara negara-negara Komanwel hilang sejurus British menyertai Kesatuan Eropah (EU). Hubungan perdagangan antara Britain dan negara-negara Komanwel digantikan dengan jalinan perhubungan antara Britain dan Kesatuan Eropah.[5]

Mungkin juga Britain terkena sumpahan negara-negara lain apabila rakyatnya mengundi untuk berpisah daripada EU pada 23 Jun 2016.

Bukan itu sahaja, negara yang mundur akan ‘dianaktirikan’ secara automatik dalam dasar perdagangan. Namun, Malaysia terselamat daripada menjadi mangsa dasar perdagangan kerana tergolong dibawah kategori negara yang membangun dalam Indeks Pembangunan Manusia (HDI).[6]

Malaysia juga pernah melalui fasa perhubungan yang tidak mesra dengan Komanwel semasa era 80-an apabila bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad lantang mengkritik dasar berat sebelah layanan Britain kepada ahli negara bukan Komanwel. Perbezaan layanan amat ketara dari segi ahli Komanwel yang bukan berkulit putih dengan ahli bukan Komanwel yang berkulit putih di mana, penuntut-penuntut dari Eropah dan Amerika Syarikat yang bukan ahli Komanwel mendapat layanan istimewa dan dikenakan yuran pelajaran yang rendah berbanding dengan penuntut-penuntut dari negara Komanwel yang tidak berkulit putih.

Selain itu, Tun Dr. Mahathir juga menyelar tindakan ekonomi Komanwel “Buy British Last” apabila Kanada dan Britain enggan mengadakan sekatan ekonomi terhadap Afrika Selatan kerana Dasar Aparteid.  Walaubagaimanapun, hubungan ini kembali pulih selepas penyertaan Malaysia di dalam CHOGM di Kanada pada tahun 1987.[7]

Dalam negara meniti era krisis hubungan antarabangsa seperti yang berlaku dengan Korea Utara ketika ini, peranan perjanjian-perjanjian pertahanan antarabangsa seperti FDPA Komanwel ini, mungkin sedikit sebanyak boleh membantu meringankan beban dan tidak meletakkan negara secara sendiri dalam menghadapi krisis seperti ini.

Kerajaan Malaysia mengaplikasikan kata-kata ‘beringat sebelum kena’. Demi mengelakkan berlaku sesuatu yang buruk, kepimpinan negara yang bijaksana telah menandatangani pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas dengan pelbagai organisasi dan negara-negara bukan Komanwel. Antaranya seperti Malaysia-Japan Economic Partnership Agreement (MJEPA), Malaysia-Turkey Free Trade Agreement (MTFTA), ASEAN-China Free Trade Agreement (ACFTA) dan lain-lain lagi. Ternyata Malaysia dapat berdiri teguh tanpa mengharapkan semata-mata kepada keahlian Komanwel seandainya Komanwel bertindak untuk tidak mengambil berat perihal Malaysia suatu hari nanti.

Kesimpulannya, selagi kebaikan penyertaan ke dalam Komanwel ini melebihi keburukannya, keahlian Malaysia sebagai salah sebuah negara di dalam Komanwel boleh sahaja terus dimanfaatkan untuk membantu Malaysia dalam era ketidaktentuan ekonomi dan politik antarabangsa.

Rujukan
[1] http://pmr.penerangan.gov.my/ index.php/antara/1078- komenwel.html

[2] http://thecommonwealth.org/ about-us

[3] http://pmr.penerangan.gov.my/ index.php/antara/1078- komenwel.html

[4] http://thecommonwealth.org/ about-us

[5] http://www.economist.com/ blogs/bagehot/2011/10/britain- and-eu-3

[6] http://hdr.undp.org/en/ content/human-development- index-hdi

[7] http://www.mahathir.com/malaysia/speeches/1986/1986-09-18.php

Comments