Home Tempatan Kedaulatan Dan Ketuanan Hakiki Adalah Milik Allah, Para Rasul Dan Orang-Orang Yang...

Kedaulatan Dan Ketuanan Hakiki Adalah Milik Allah, Para Rasul Dan Orang-Orang Yang Beriman – Dato’ Haji Nooh Gadut

SHARE

Simpang Renggam, Johor: “Kedaulatan dan ketuanan hakiki itu adalah milik Allah, para Rasul dan orang-orang yang beriman dan bukan milik orang lain,” demikian menurut Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Dato’ Haji Nooh Bin Gadut ketika menukilkan ayat suci daripada surah al-Munafiqun dalam tazkirah beliau di Deklarasi Ijtima’ Penegasan Kedaulatan Islam 2018 (DIPKI 2018) yang berlangsung di Dewan Muafakat, Majlis Daerah Simpang Renggam, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, umat Islam perlu merenung sejarah Sepanyol dengan keikhlasan, kejujuran dan dengan ilmu supaya perkara yang sama tidak berulang di negara kita.

“Apa hukum kita menjaga izzah, siyadah, ketuanan, kedaulatan agama, kedaulatan bangsa dan negara, saya nak buat cerita yang telah berlaku, mudah-mudahan tidak berlaku di negara yang tercinta ini. Yang pertama kita kena lihat sejarah Sepanyol dengan penuh keikhlasan, kejujuran dan ilmu pengetahuan, kita tahu sebagaimana Allah S.W.T. berfirman di dalam al-Qur’an, surah Munafiqun ayat yang kelapan, “Sesungguhnya izzah, kedaulatan dan ketuanan dan hakiki itu hanya milik Allah, rasulnya dan orang-orang yang beriman dan bukan milik orang lain”, ini jelas.”

Dato’ Haji Nooh turut menegur pemimpin dari kalangan umat Islam dengan membacakan ayat Qur’an yang menegur kepimpinan yang meninggalkan orang-orang mukmin dan menjadikan orang-orang kafir sebagai teman.

“Orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin, terutama pemimpin yang teratas adakah mereka mencari keredhaan di sisi orang kafir?”

Beliau juga mengajak hampir satu ribu orang hadirin untuk merenung kembali sejarah Sepanyol, yang pernah satu ketika dahulu selama 800 tahun menjadi tanah Islam.

“Kita tengok sejarah Sepanyol, lebih kurang 800 tahun, bukan sedikit tempoh itu, kedaulatan dan izzah berada pada orang Islam, tetapi apabila kedaulatan, izzah agama dan bangsa serta agama telah tercabut maka apa yang telah berlaku?”

Dato’ Haji Nooh turut mengingatkan umat Islam bahawa sekiranya terdapat ciri-ciri perkara-perkara lalu di dalam negara ini maka sejarah boleh berulang.

“Dari sejarah, boleh berlaku jika cirinya berlaku di negara kita.”

Pemimpin Sepanyol telah menjanjikan kesenangan untuk umat Islam sekiranya umat Islam negara itu menyerah kalah, namun apa terjadi selepas itu amat ngeri.

“Pemimpin Islam dibunuh dihadapan keluarga, dirogol, dia suruh pilih jadi hamba abdi, boleh dijual beli, kalau tak nak mati ambil yang itu, dipenjarakan dan dihalau daripada negara tercinta.”

Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya tidak membuat sesuatu yang akan merugikan kedaulatan dan ketuanan Islam di negara ini.

“Jangan sebab nyamuk kelambu dibakar.”

Selain daripada itu, beliau juga memberikan contoh negara Palestin yang kini di bawah kezaliman negara Israel kerana tidak ada kedaulatan dan kekuasaan pada orang Islam.

“Aqsa amat menyedihkan, ya Allah, itulah keadaan apabila kedaulatan al-i’zzah, siyadah tiada pada orang islam.”

Punca kejatuhan umat Islam terletak kepada perpecahan, perbalahan dan perkelahian sesama sendiri.

“Perpecahan, perbalahan, perkelahian adalah punca kita mengalami kekalahan.”

Beliau terus mengingatkan umat Islam supaya tidak leka dan terus marak berjuang.

“Umat Islam tidak boleh leka, tidak boleh rehat, musuh kita luar dan dalam ada.”

“Negara Malaysia, kita kena pastikan kita yang terbaik, yang kedua kita pastikan dalam surah Saba’ negara aman damai, dan rakyatnya mendapat keampunan daripada Allah S.W.T.”

Comments