Home Tempatan Kedah Akan Meningkatkan Sesi Penerangan RUU 355

Kedah Akan Meningkatkan Sesi Penerangan RUU 355

SHARE

JITRA, 31 Januari 2017: Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Ahmad Bashah berkata pihaknya akan meneruskan penerangan terhadap pindaan Akta 355 kepada rakyat negeri Kedah. Berikutan cadangan pindaan oleh Dato’ Seri Abdul Hadi, Ahli Parlimen Marang pada pertengahan tahun lalu, ramai pihak telah mengecam tindakan untuk meminda akta ini. Maka satu langkah telah diambil untuk memberi penjelasan kepada pelbagai lapisan masyarakat di Negeri Kedah berkenaan Pindaan Akta 355.

Bercakap semasa sidang media di Forum Penerangan Rang Undang-undang A355 di Kubang Pasu hari ini, anjuran Kerajaan Negeri Kedah bersama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), beliau berkata ini adalah kali pertama program ini diadakan untuk menerangkan Akta 355 kepada umum dan kepentingan pindaan kepada akta tersebut.

Program yang dihadiri oleh seramai 2,500 orang dari pelbagai lapisan masyarakat antaranya, para penghulu, imam, jawatankuasa qariah telah diberi penerangan berkenaan pindaan Akta ini. Beliau menambah lagi, penerangan ini perlu dibuat supaya masyarakat setempat mendapat penerangan yang jelas berkenaan pindaan ini.

Beliau menambah, “negara kita terdiri daripada penduduk berbilang kaum, maka kita perlu memberi penerangan supaya semua rakyat faham sebenarnya kenapa pindaan yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang ini berlaku”. Apabila ditanya berkenaan sokongan Kerajaan Negeri Kedah berkenaan pindaan ini, beliau berkata, “Kita bawa, terpulang kepada parlimen dulu”. Ahli parlimen dari Kedah belum diberi penerangan berkenaan pindaan ini kerana Ahli Parlimen akan diberi penjelasan pada tahap pusat. Program ini boleh diadakan pada masa hadapan mengikut keperluan.

Selain daripada itu Dato’ Mahamad Naser, Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM berpendapat adalah sangat penting pindaan ini dibuat kerana hukuman yang ada pada masa ini adalah sangat ringan jika dibandingkan dengan kesalahan yang dibuat. Maka untuk langkah pencegahan dan keadilan, hukuman perlulah setimpal dengan kesalahan yang dibuat.

Sebagai contoh, enam sebatan syariah untuk menyebarkan ajaran sesat dan berkhalwat adalah terlalu ringan. Ini adalah kerana sebatan syariah itu tidak sama kaedahnya dengan sebatan sivil. Barangkali selepas enam kali sebatan, tidak mengakibatkan luka ke atas pesalah, berlawanan dengan sebatan sivil, di mana hanya satu sebatan boleh mengoyakkan kulit.

Comments