Home Tempatan Kebuluran: OIC rayu campur tangan segera selamatkan Somalia

Kebuluran: OIC rayu campur tangan segera selamatkan Somalia

SHARE

KUALA LUMPUR, 11 Jamadilakhir 1438H, Jumaat – Masalah kebuluran di Somalia kian meruncing, menyaksikan hampir enam juta orang iaitu separuh daripada penduduk di negara itu berada di ambang maut dan memerlukan bantuan kemanusiaan segera, kata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam satu kenyataan.

Jelas kenyataan itu lagi Sekretariat Agung OIC memandang berat masalah kebuluran kerana ia kian membimbangkan dan kesan buruk mula kelihatan di Somalia serta beberapa wilayah Afrika susulan kemarau akibat kekurangan hujan.

Ia mengancam kehidupan lebih 17 juta orang di negara seperti Djibouti, Eretria, Ethiopia, Kenya, Somalia, Selatan Sudan, Sudan dan Uganda.

OIC berkata seperti diumumkan Perdana Menteri Hassan Ali di Mogadishu pada 4 Mac, seramai 110 orang maut di Somalia dalam tempoh dua hari akibat taun dan kebuluran berpunca daripada kemarau berterusan.

Lebih membimbangkan apabila penunjuk situasi kebuluran oleh Pejabat Penyelarasan Kemanusian dan Tindakan Pembangunan OIC di Somalia menganggarkan pada Febuari lepas kira-kira 50,000 penduduk terpaksa menjadi pelarian.

“Perlu diambil perhatian Somalia merupakan satu daripada empat negara sering berdepan masalah kebuluran serius bersama dengan Nigeria, Selatan Sudan dan Yaman yang mana lebih 20 juta orang terjejas teruk dan keadaan itu memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan masalah semakin menular,” kata OIC.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada 22 Febuari mengumumkan, agensi bantuan kemanusiaan PBB memerlukan peruntukan segera sebanyak US$4.4 bilion menjelang akhir Mac untuk menangani kebuluran di Yaman, Somalia, Selatan Sudan dan Nigeria. Setakat ini US$90 berjaya diperolehi.

Beliau berkata 1.4 juta kanak-kanak pula berdepan kematian akibat kebuluran di empat negara itu manakala di Yaman sahaja seramai 462,000 kanak-kanak dilanda kekurangan zat makanan akibat perang yang berlarutan hampir dua tahun.

Sekretariat Agung OIC berkata Somalia juga dibelenggu nasib sama kerana  seramai 260,000 orang menjadi korban antara tahun 2010 dan 2012. – Bernama

Comments