Home Tempatan Kebenaran Khitan dan Kebatilan FGM Terdedah

Kebenaran Khitan dan Kebatilan FGM Terdedah

SHARE

Polemik tentang pemotongan genital perempuan atau dalam bahasa Inggerisnya, Female Genital Mutilation (FGM) dimulakan oleh golongan feminis, Hak Asasi Manusia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan NGO lain dengan tujuan untuk menentang dan sekaligus menghapuskan amalan kejam ini. Selain FGM, golongan ini turut menyenaraikan amalan khitan anak perempuan dalam Islam ke dalam senarai penghapusan.

Sebab utama mereka menentang amalan khitan ini adalah kerana mereka mengatakan bahawa khitan dan pemotongan genital perempuan mempunyai prosedur yang sama, dan alasan ini dikuatkan dengan fakta daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Menurut WHO, proses pemotongan khitan berada di tahap satu kategori pemotongan genital iaitu klitoridektomi, yakni pemotongan atau pembuangan sebahagian atau kesemua bahagian klitoris dan, atau kadangkala, melibatkan pembuangan prepus. Kenyataan ini tidak benar kerana menurut garis panduan Islam, khitan dilakukan dengan cara berikut:

Daripada Umm ‘Atiyyah Al-Ansariyah berkata, sesungguhnya seorang wanita berkhatan di Madinah. Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya: ‘’Janganlah kamu berlebih-lebihan kerana hal itu akan lebih mendatangkan kenikmatan bagi wanita dan lebih disukai suami.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud).

‘’Janganlah kamu berlebih-lebihan.’’ Nampak bukan penjelasan di sini bahawa perbezaan antara khitan dan FGM adalah pemotongan dalam khitan tidak boleh melebihi dan melampaui batasan yang sepatutnya seperti budaya pemotongan FGM. Khitan merupakan amalan yang disyariátkan di dalam Islam. Sabda Rasulullah S.A.W.:

“Lima perkara yang merupakan fitrah; berkhitan (bersunat), mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menipiskan misai”. (Riwayat Imam Muslim)

Bagi mendapatkan fakta yang lebih jelas berkenaan pemotongan genital perempuan dan kaitannya dengan khitan, pihak Menara.my telah mendapatkan pandangan daripada Profesor Madya Rafidah Hanim, seorang doktor bertauliah yang bernaung di bawah organisasi I-Medik dan merangkap sebagai seorang aktivis wanita.

Menurut Profesor Madya Rafidah Hanim, cara khitan anak perempuan di Malaysia adalah dengan memotong sedikit tisu klitoris atau sedikit tusukan (needle prick) dilakukan pada bahagian klitoris. Cara ini tidak memudaratkan anak perempuan seperti budaya di Afrika yang menyakitkan dan melukakan anak perempuan. Setakat kajian yang telah dilakukan oleh Profesor Madya Rafidah Hanim dan para penyelidik yang lain berkenaan khitan di Malaysia, mereka tidak menemui sebarang rekod kemudaratan yang disebabkan oleh amalan ini. Beliau juga menambah dengan mengatakan bahawa amalan khitan ini bukanlah salah satu jenis pengubahsuaian badan seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak Hak Asasi Manusia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan NGO lain.

Akhir kalam, sekali lagi ditegaskan bahawa khitan anak perempuan dalam Islam bukanlah dalam kategori yang sama dengan amalan pemotongan genital perempuan seperti yang diperkatakan. Artikel ini sangat sesuai diakhiri dengan pandangan dan teguran daripada Dr. Rafidah Hanim kepada pihak-pihak yang cuba mengaitkan amalan khitan dalam Islam ini dengan FGM dengan tuduhan ia menyeksa kaum wanita seperti di bawah:

“Saya dapati tiada asas bagi pihak-pihak tertentu terutamanya feminis untuk mengaitkan amalan khitan wanita seperti yang diamalkan oleh Malaysia dengan “penindasan atau penyeksaan” wanita kerana tiada bukti tentang perkara tersebut. Walaupun saya tak nafikan FGM memang memudaratkan wanita tapi perdebatan tentang khitan di Malaysia hanya merugikan masa kerana ia diamalkan secara yang difahami daripada hadis.  Saya sendiri menjalankan kajian tentang persepsi khitan di kalangan ibu-ibu mengandung di Malaysia dan lebih 80% merasakan ia tidak mendatangkan mudharat. Kajian ini saya bentangkan di persidangan World Congress of Paediatric Controversies  (Copedia) dalam tahun 2015 di Budapest dan ia membuka mata ramai non-Muslim di situ tentang “female circumcision” yang kita amalkan.”

 

Comments